Lakaran artis Perkampungan al-Quran

DI Twitternya pada 30 Oktober 2020, Menteri Wilayah Persekutuan Yang Berhormat Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa lakaran projek ‘Quranic Village’ atau Perkampungan Al-Quran sudah hampir siap.

Semasa projek ini diumumkan pada 11 Mei 2020 yang lalu, YB Menteri Wilayah Persekutuan tersebut berkata bahawa perkampungan ini dibina untuk “memartabatkan budaya Islamik dan ilmu al-Quran khususnya kepada pelancong dari luar negara.”

Terdapat beberapa persoalan penting berkenaan projek ini.

Pertama, bagaimana beliau hendak menjustifikasi keperluan projek yang bernilai RM150 juta ini dalam keadaan kerajaan meminta derma daripada rakyat untuk memenuhi keperluan asas?

Ketika awal pandemik ini, kerajaan telah membuka tiga tabung untuk meminta derma daripada rakyat. Tabung Bantuan Covid-19  daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Tabung Musaadah Covid daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Tabung Sumbangan Perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Baru-baru ini, pada 27 Oktober 2020, KKM telahpun sekali lagi melancarkan Sumbangan Perubatan dan meminta sumbangan daripada orang ramai.

Jika benar kerajaan mempunyai duit lebihan sehingga duit tersebut boleh dibelanjakan untuk projek ini, mengapa perlu meminta-minta daripada rakyat?

Kedua, adakah projek ini yang diperlukan oleh Islam serta penganutnya?

Ketika Nabi SAW wafat, baginda meninggalkan kepada kita dua perkara, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Baginda tidak tinggalkan kepada kita bangunan yang tersergam indah. Masjid Nabawi dibina berdindingkan tanah liat dan beratapkan pelepah tamar.

Bahkan, al-Quran yang ditinggalkan bukanlah ditulis dengan dakwat emas bertatahkan berlian. Al-Quran hanya ditinggalkan terukir pada hati para sahabat yang mengimaninya dan mengamalkannya.

Namun, apa yang baginda sentiasa tekankan?

Memberi makan kepada orang miskin. Membantu orang yang susah. Membela nasib mereka yang dizalimi. Inilah juga tema yang sentiasa diulang-ulang dalam Al-Quran. Oleh itu, untuk membuat sesuatu perkampungan yang bertemakan al-Quran, suruhan Al-Quran haruslah menjadi paksi utama yang harus diketengahkan.

Adakah kita telah membantu mereka yang memerlukan?

Sebelum Covid-19, pada tahun 2018, kajian daripada UNICEF menunjukkan bahawa lebih daripada separuh (52%) warga miskin bandar di Kuala Lumpur tidak mempunyai duit yang cukup untuk membeli makanan. 97% penduduk tidak memberi anak-anak makanan berkhasiat kerana kos sara hidup yang tinggi.

Pasca Covid-19, kajian daripada badan yang sama menunjukkan 1 daripada 4 ketua keluarga warga miskin bandar di Kuala Lumpur telah hilang pekerjaan. 57% ketua keluarga mendapat pendapatan yang semakin rendah pasca Covid-19.

Situasi dalam kalangan miskin bandar ini amat menyedihkan. Seharusnya, prioriti perbelanjaan kerajaan ialah untuk membantu mereka, sebagaimana saranan al-Quran dan Sunnah.

Bagaimana pula pembelaan terhadap golongan teraniaya?

Umum mengetahui, kerajaan Malaysia mutakhir ini telahpun menolak kehadiran pelarian Rohingya yang ditindas dan dizalimi di tanah mereka sendiri oleh kerajaan Myanmar. Sebab yang dinyatakan kebiasaannya ialah untuk memberikan keutamaan kepada penduduk tempatan akibat keterhadan sumber semasa wabak ini.

Jika benar kerajaan ada lebihan sumber yang digunakan untuk membuat projek ini, bukankah lebih baik ia digunakan untuk membantu saudara kita yang memohon perlindungan?

Ketiga, apakah sepatutnya peranan al-Quran dalam sesebuah komuniti Muslim?

Al-Quran sepatutnya menjadi panduan kehidupan, bukan tarikan pelancongan. Al-Quran sepatutnya menjadi pedoman untuk menjadikan manusia yang lebih baik. Contohnya, melalui pemahaman dan penghayatan al-Quran, ia menjadikan penguasa negara lebih amanah, berakhlak, dan berintegriti, yang menatijahkan polisi-polisi negara lebih berkebajikan dan merakyat.

Mengambil contoh daripada pemimpin yang digelar ” al-Quran” berjalan, iaitu Rasulullah SAW sendiri. Ketika perang Khandak, penduduk Madinah mengalami kebuluran sehingga warga Madinah mengikat perut-perut mereka dengan seketul batu untuk mengurangkan rasa lapar. Apabila diadukan kepada Nabi SAW, baginda menunjukkan bahawa di perut baginda terdapat bukan satu, tapi dua ketul batu untuk menahan lapar. Menunjukkan baginda mengutamakan rakyat baginda terlebih dahulu ketika rakyat dalam kesusahan.

Selain itu, individu yang mengamalkan al-Quran ialah individu yang sentiasa berakhlak mulia dan beramal soleh. Dalam keadaan kebejatan sosial yang membarah, menunjukkan bahawa Malaysia masih jauh daripada ciri-ciri masyarakat yang membumikan al-Quran.

Akhir sekali, tidak perlulah kita membina struktur-struktur agam dan mewah untuk meraikan al-Quran. Sebaliknya, lebihkan tumpuan kepada kiat-kiat untuk membumikan Al-Quran dalam hati setiap rakyat Malaysia, sama ada yang memerintah mahupun yang diperintah.

Mulakan dengan pemerintah sendiri mengikut saranan Al-Quran, iaitu bersederhana dan mengutamakan bantuan terhadap yang memerlukan dan yang dizalimi.

Apabila negara kita menjadi negara yang dicorakkan oleh tunjuk ajar al-Quran, manfaatnya akan dapat dilihat daripada segala aspek, termasuklah kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik.

Azhari Azizi
JK Akademik dan Intelektual
Persatuan Belia Harmoni Malaysia