Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak
Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak

KUALA LUMPUR – Kekosongan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diiklankan bertujuan memberi peluang kepada semua individu yang layak dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Proses itu dilaksanakan supaya pemilihan dapat dijalankan secara demokrasi, terbuka dan telus.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, iklan yang dibuat untuk jawatan itu bukan kali pertama kerana pernah dilakukan oleh Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Iklan ini bukan luar biasa. Ia seperti kekosongan jawatan lain-lain juga.

“UKM bukan yang pertama mengiklankan jawatan Naib Canselor. Ada dua universiti sebelum ini melakukan kaedah sama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menerusi kaedah itu, mana-mana individu yang berkelayakan boleh mengemukakan permohonan.

Malah, permohonan itu turut memberi peluang kepada persatuan akademik, kakitangan, alumni, pentadbiran, senat dan fakulti untuk menamakan calon masing-masing.

“Pendekatan ini sebenarnya telus kerana individu yang paling layak sahaja akan dipilih.

“Oleh itu, tidak timbul pelantikan jawatan Naib Canselor diumumkan secara tiba-tiba dan kemudian menimbulkan persoalan kenapa individu itu dipilih,” jelas beliau.

Katanya, melalui proses ini, calon-calon akan dipilih oleh Lembaga Pengarah dan diserahkan kepada Jawatankuasa Select universiti.

Nama-nama calon itu kemudian diserahkan Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam yang akan melakukan saringan dan temuduga.

Di peringkat ini, calon-calon layak akan disenarai pendek dan nama-nama calon berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Pengajian Tinggi untuk dipilih.

Mustafa berkata, calon berjaya akan diumumkan oleh menteri kerana ia adalah bidang kuasa beliau.

Jawatan Naib Canselor UKM itu kosong selepas Prof. Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya yang baharu.

Pelantikan Mohd Hamdi berkuat kuasa 1 November hingga 31 Oktober 2023. – MalaysiaGazette

Jawatan kosong Naib Canselor UKM curi perhatian ramai