Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 2 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menafikan peralatan perubatan Sabah berada kini di tahap kritikal.

Sebaliknya beliau berkata, kapasiti peralatan termasuk Pakaian Pelindung Diri (PPE), katil dan alat bantuan pernafasan di hospital masih mencukupi.

Katanya lagi,  pihaknya sentiasa memantau semua hospital di Sabah agar tidak berlaku kekuarangan bekalan peralatan. 

“Kita masih memantau perkembangan dan juga stok  untuk PPE (Pakaian Pelindung Diri) di Sabah. Setakat ini kita masih lagi boleh bertahan 29 hari tapi ada PPE yang kita boleh bertahan 97 hari, jadi kita juga banyak menerima sumbangan PPE dari kerajaan negeri Sabah dan NGO-NGO.

“Kita pantau hospital hari-hari ini. Setakat ini kita ada 28 pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah di Sabah. 8539 katil keseluruhan,  1111 katil di hospital, 7428 katil di pusat kuarantin dan rawatan risiko rendah. Katil ICU (Unit Rawatan Rapi)  kita ada 149 iaitu penggunaan sekarang baru 60 peratus.

“Katil ICU khas pesakit Covid kita ada 130 dan penggunaan ventilator 163 ada penggunaan 27 peratus.

“Jadi banyak lagi kapasiti kita. Dakwaan itu  tidak betul, mereka yang mengatakan peralatan kesihatan tidak mencukupi mungkin mereka tidak turun padang melihat jadi kita memantau keadaan katil-katil kita,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kesihatan.

Terdahulu Dr Noor Hisham berkata, kesiapsiagaan KKM mendepani gelombang ketiga Covid-19 lebih baik meskipun cabarannya di Sabah tinggi.

“Contohnya pelbagai dakwaan kekurangan katil, kalau kita lihat hari ini kes discaj di Sabah juga meningkat,” kata beliau lagi. -MalaysiaGazette