Negara Malaysia terbentuk hasil daripada permuafakatan Raja-Raja Melayu yang mewarisi kedaulatan kesultanan Islam, bukan atas ihsan penjajah Inggeris.

MALAYSIA memerlukan perubahan sistem bernegara kepada suatu sistem yang jelas dari segi acuan dan sumber rujukan.

Sistem yang jelas juga diperlukan untuk memimpin manusia kepada kehidupan beragama dan menuju kepada perpaduan dalam konteks pemerintahan negara.

1. A) Apakah cabaran yang timbul daripada pelaksanaan sistem demokrasi?

1) Cubaan untuk berhujah di Parlimen, di Mahkamah dan forum-forum akademik yang mempertikaikan kedudukan dan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja ditafsirkan dengan tafsiran yang cukup sempit iaitu hanya untuk tujuan keraian semata-mata, bahkan negara ini juga dikatakan sebagai sebuah negara sekular.

2) Kedudukan dan kuasa mahkamah syariah, institusi fatwa juga dicabar, malah Islam diletakkan di bawah prinsip demokrasi liberal dan norma-norma hak kebebasan yang jelas bertentangan dengan syariat Islam.

3) Keghairahan dalam memperjuangkan hak samarata iaitu hak untuk menyamaratakan semua agama dan membelakangkan peruntukan-peruntukan yang sedia terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

4) Ada yang berpandangan bahawa semua agama bebas untuk disebar dan dianuti ajarannya. Justeru, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama dan doktrin bukan Islam di kalangan umat Islam perlu dihapuskan.

5) Terdapat sebahagian kelompok masyarakat negara ini yang memperjuangkan kebebasan berfikir secara mutlak di kalangan umat Islam. Pemikiran dan perjuangan seperti ini membolehkan orang Islam bebas untuk keluar agama (murtad) tanpa kawalan pihak yang berautoriti, ajaran sesat bebas untuk diamalkan, orang yang jahil bebas mentafsirkan al-Quran dan Hadis mengikut kefahaman sendiri, institusi-institusi agama seperti institusi fatwa dicabar kedudukan dan kuasanya, mentafsirkan bahawa pegangan agama, kepercayaan dan cara mengamalkannya adalah hak individu.

6) Di bawah dasar liberalisasi dan deregulasi perdagangan antarabangsa pimpinan world trade organisation, globalisasi yang didukung oleh kuasa korporat global memberikan peluang besar kepada mereka untuk mengeksploitasi ekonomi negara-negara membangun, termasuk Malaysia. Situasi ini akan mempercepatkan proses homogenisasi budaya secara global iaitu negara yang kuat akan mempengaruhi negara yang lemah.

Pada waktu itu, ciri-ciri luhur dalam budaya Malaysia dan sistem nilai agama dan tradisi yang mendasarinya akan dihimpit dan digugat oleh gagasan atau aliran kebudayaan asing yang berjiwa materialistik, sekularistik, relativistik, neo-modernistik, hedonistik atau permissive (serba boleh).

Aliran-aliran yang ingin melemahkan pengaruh nilai budaya, agama dan moral tempatan itu dibawa masuk oleh unsur-unsur ekonomi kapitalistik tempatan atau antarabangsa yang mementingkan keuntungan kewangan semata-mata tanpa mempedulikan isu tanggungjawab sosial atau moral.

Pelbagai saluran akan digunakan untuk mencapai matlamat ekonomi dan budaya bebas mereka, termasuk industri pengiklanan, perfileman, fesyen, muzik, hiburan, pelancongan, media cetak, media elektronik dan internet.

2. B) Adakah masih terdapat banyak undang-undang di Malaysia yang bercanggah dengan undang-undang Islam?

Dalam hal undang-undang yang bertentangan dengan Islam ini, Allahyarham Tan Sri Profesor Ahmad Ibrahim dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan Malaysia’ telah menyatakan bahawa, “masih terdapat banyak undang-undang di Malaysia yang bercanggah dengan undang-undang Islam yang diluluskan dari zaman penjajah. Akan tetapi usaha boleh diambil untuk meminda undang-undang itu supaya selaras atau tidak bertentangan dengan undang-undang Islam. Jika orang Islam ingin perlembagaan itu dijadikan lebih dekat dengan Islam, mereka harus berikhtiar supaya mereka mempunyai kuasa untuk memindanya”.

Beliau juga ada menulis dalam rencananya iaitu “Sekatan-Sekatan Dalam Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia” iaitu, “selepas itu hendaklah kita menghormati dan menerima undang-undang Islam dalam semua bidang”.

Beliau memberitahu bahawa langkah ini tidak boleh diambil tergesa-gesa, tetapi hendaklah orang Islam sendiri mempelajari dan meyakinkan ketinggian taraf dan keindahan undang-undang Islam itu. Kita harus meyakinkan diri kita sendiri dan orang-orang lain di Malaysia bahawa undang-undang Islam itu adil dan saksama iaitu meletakkan sesuatu itu ditempatnya berdasarkan keperluan.

Sayangnya, kita telah mengabaikan dan mencuaikan khazanah berharga yang telah diwarisi kepada kita oleh para ulama Islam. Kita harus mempelajari undang-undang Islam dan berikhtiar serta berijtihad jika perlu untuk menjadikan undang-undang Islam itu undang-undang kebangsaan di Malaysia.

Beberapa langkah telah pun diambil di Jabatan Syariah, Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dan di fakulti undang-undang di Universiti Malaya, di mana dengan kerjasama kedua-dua fakulti itu telah membawa kesan yang sangat baik.

Tetapi ini adalah langkah permulaan sahaja dan banyak lagi langkah harus diambil untuk menghilangkan sangka buruk terhadap undang-undang Islam dan mengiktiraf serta menghormati undang-undang Islam di Malaysia.

Undang-undang di negara barat dengan secara langsung atau tidak, diketahui atau tidak telah banyak mengambil dan meniru undang-undang Islam. Di England banyak pembaharuan telah dibuat, yang telah membawa undang-undang itu lebih dekat kepada undang-undang Islam. Tetapi sayangnya kita di Malaysia hingga hari ini kerap kali menurut sahaja pembaharuan yang telah dibuat di England, sungguhpun peruntukan yang setanding dengan itu atau yang lebih baik boleh didapati daripada undang-undang Islam.

Bersandarkan kepada kewajiban pemerintah untuk memelihara Islam sebagai agama negara, kewujudan badan pemantau khusus untuk memastikan semua pihak termasuk pemerintah dan agensi kerajaan mematuhi prinsip Islam adalah satu keperluan mendesak. Prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan dalam negara ini sejak merdeka masih berteraskan prinsip Common Law yang terus mengenepikan prinsip agama sekalipun Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan meletakkan undang-undang Inggeris yang diwarisi sebelum merdeka boleh dipinda dan diselaraskan dengan keperluan semasa.

3. C) Bagaimanakah negara Malaysia terbentuk?

Kedaulatan agama Islam diwarisi oleh Kesultanan Melayu sejak kedatangan Islam ke alam Melayu. Negara Malaysia terbentuk hasil daripada permuafakatan Raja-Raja Melayu yang mewarisi kedaulatan kesultanan Islam, bukan atas ihsan penjajah Inggeris.

Sejarah kedaulatan negeri-negeri Melayu bukan bermula pada tahun 1957, malah ia telah berdaulat sejak abad ke 14 lagi yang dapat dibuktikan melalui penemuan batu bersurat Terengganu yang menghuraikan sistem perundangan negeri Terengganu yang berasaskan hukum syarak. Asas undang-undang yang sama juga termaktub dalam kanun-kanun Melayu jelas membuktikan asas kedudukan islam di alam Melayu  adalah sesuatu yang terpahat kukuh di persada sejarah negara.

4. D) Bolehkah diwujudkan sebuah Majlis Negara atau Suruhanjaya di bawah naungan Majlis Raja-Raja dan YDPA?

Jika prinsip hak asasi manusia yang tidak dimartabatkan secara nyata dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi sehingga kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah suruhanjaya, sudah pasti sebuah Majlis Negara boleh ditubuhkan bagi memastikan prinsip Islam dihormati dan kedaulatan agama Islam terus dijunjung.

Majlis Negara yang dicadangkan ialah Majlis Syura Negara. Majlis ini berperanan bagi memastikan ikrar dan sumpah YDPA atas nama Allah SWT untuk memelihara agama negara Islam benar-benar dilaksanakan. Majlis ini juga bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui YDPA dan bebas daripada pengaruh politik kepartian yang membawa kepada perpecahan dalam konteks pemerintahan negara.

Justeru itu, Majlis ini juga berhak memberi teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensi kerajaan secara terus. Ia juga bertanggungjawab mendengar aduan dari mana-mana pihak mengenai pelbagai perkara setelah melalui beberapa proses yang telah ditetapkan.

Secara mudahnya, Majlis Syura Negara merupakan badan tertinggi negara dalam membuat kata putus berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW melalui perbincangan di antara ahli-ahli Majlis Syura Negara.

Antara objektif penubuhan Majlis Syura Negara ialah:-

1) Menjadikan kewajipan kepada semua pihak sama ada kerajaan atau rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan.

2) Meletakkan kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri untuk mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan agama negeri-negeri dalam merangka dasar dan polisi kerajaan bagi mengelakkan sebarang bentuk percanggahan dan penghinaan kepada agama Islam.

3) Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama negara dan sistem hidup yang sempurna yang perlu dilaksanakan dalam semua urusan kehidupan dan bukan sekadar agama rasmi atau agama ritual sahaja.

4) Memelihara keluhuran dan kesucian agama Islam selama-lamanya dari sebarang bentuk penyelewengan, fahaman moden yang tersasar atau ajaran sesat yang boleh mengelirukan umat Islam.

5) Mengembalikan keutuhan Islam sebagai agama bagi negeri-negeri Melayu yang tidak pernah dijajah atau dicemari oleh nasihat-nasihat penjajah dan prinsip moden barat.

6) Menyatakan dengan jelas tanggungjawab dan kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan kedaulatan Islam dari pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi, pendidikan, perundangan, sosial, Sains dan teknologi.

5. E) Adakah sistem demokrasi masih relevan untuk dipraktikkan setelah tertubuhnya Majlis Syura Negara?

Sistem demokrasi merupakan sistem pemerintahan, di mana rakyat memilih perwakilan dalam bentuk badan tadbir urus, kadangkala dipanggil sebagai pemerintahan majoriti.

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat.

Demokrasi juga adalah satu sistem kerajaan, di mana semua orang dalam sebuah negara atau tatanegara terlibat dalam membuat keputusan mengenai perkara-perkaranya, di mana lazimnya dengan undi untuk memilih wakil bagi sebuah parlimen.

Mudahnya, demokrasi ditakrifkan sebagai:-

1) Pemerintahan oleh rakyat berdasarkan peraturan majoriti,

2) Sebuah kerajaan yang kuasa tertingginya dikurniakan oleh orang ramai dan digunakan oleh mereka secara terus atau secara tidak langsung melalui satu sistem perwakilan biasanya melibatkan secara berkala dengan mengadakan pilihan raya umum.

Menurut Saintis Politik dari Amerika, Larry Diamond, demokrasi terdiri daripada empat elemen utama iaitu:-

1) Satu sistem politik untuk memilih dan menggantikan kerajaan melalui pulihan raya umum dan adil.

2) Penyertaan aktif orang ramai, sebagai warganegara, di politik dan kehidupan sivik.

3) Perlindungan hak asasi manusia semua rakyat.

4) Satu kaedah undang-undang dan prosedur digunakan sama rata terhadap semua rakyat.

Jika dilihat dari segi pemahaman demokrasi, sistem ini dilihat tidak jelas dari segi acuan dan sumber rujukannya. Segala-galanya bergantung kepada ideologi manusia di mana pemilihan pemimpin dibuat berdasarkan akal manusia yang berpaksi kepada sokongan majoriti. Ianya berbeza dengan sistem politik Islam yang mempunyai acuan dan sumber rujukan yang jelas iaitu Islam, al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ciri-ciri pemilihan pemimpin juga dinyatakan secara jelas dalam al-Quran.

Sistem demokrasi tidak dapat membawa rakyat kepada perpaduan, sebaliknya rakyat sentiasa berpecah dan pemimpin sering berebut jawatan. Ini dibuktikan dengan amalan sistem demokrasi berasaskan politik kepartian yang telah dipraktikkan di Malaysia sehingga ke hari ini.

Berbeza dengan sistem politik Islam, di mana amalannya akan membawa masyarakat kepada perpaduan melalui amalan politik kesatuan ummah, di mana mengajak rakyat kepada kehidupan beragama, bukannya kepartian dalam konteks pemerintahan negara.

Oleh itu, sistem demokrasi tidak sesuai untuk diamalkan dalam konteks mematuhi prinsip Islam. Atas dasar itu, kerajaan memerlukan kepada satu sistem yang selari dengan peranan Majlis Syura Negara bagi melancarkan dan memudahkan sistem pengurusan dan pentadbiran negara.

Sistem yang dicadangkan ialah Sistem Syumul

Sistem Syumul ialah suatu sistem politik yang berpandukan kepada sumber dan acuan al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, Ijmak (Ijtihad Ulama) dan Qias. Sistem ini digunakan untuk pemerintahan sebuah negara yang menghubungkan antara pemimpin, ulama dan rakyat. Ia terbentuk daripada keseluruhan institusi yang mengatur masyarakat awam dan kekuasaan.

Sistem ini berasaskan kepada lengkap melengkapi antara satu sama lain dengan mengamalkan dasar terbuka mengikut prinsip Islam dengan menjaga kepentingan bersama secara adil untuk memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Sistem ini juga bertindak sebagai penimbang dalam membenarkan yang haq (benar) dan menidakkan yang bathil (salah) dengan setiap perkara/perancangan (input) yang ingin dilakukan akan memberikan keputusan/hasil (output) yang baik tanpa berlaku sebarang unsur negatif seperti ketirisan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Sistem ini juga mementingkan dari sudut semak dan imbang serta kajian dan pembangunan.

6. F) Bagaimanakah cara untuk Sistem Syumul ini dijadikan sebagai sistem bernegara?

Sistem ini perlu dipersembahkan kepada YDPA dan memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk pelaksanaannya atas kapasiti kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai ketua tertinggi bagi negeri masing-masing.

Rujukan:

1) Memartabatkan Islam sebagai agama negara – YAB Tun Dato Seri Ahmad Fairuz Bin Dato Sheikh Abdul Halim – Mantan Ketua Hakim Negara

2) Kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan – YB Datuk Abdul Kadir Bin Sulaiman – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan

3) Ancaman-ancaman terhadap kedaulatan Islam sebagai agama negara – Datuk Mahamad Naser bin Disa

4) 10 salah tanggapan mengenai kedudukan Islam di Malaysia – Datuk Mahamad Naser bin Disa – MalaysiaGazette

Asmarul Nizan Kassim

Penulis, Asmarul Nizan Kassim adalah Penganalisis Bebas