Polis mengepung laluan di Schwedenplatz, dekat Vienna selepas serangan sekumpulan lelaki bersenjata. foto Reuters

VIENNA – Sekumpulan lelaki bersenjatakan rifal melepaskan tembakan rambang di enam lokasi di pusat bandar ini mengorbankan dua nyawa.

Beberapa orang juga dilaporkan cedera, kata polis.

Salah seorang daripada penyerang dilaporkan terbunuh.

Canselor Austria, Sebastian Kurz menyifatkan kejadian ini sebagai serangan menjijikan.

Menteri Dalam Negeri sedang mengesan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang dipercayai masih bebas.

Kejadian tembakan itu berlaku berhampiran rumah ibadat Yahudi.

Salah seorang mangsa terbunuh di lokasi tembakan sementara yang kedua – seorang wanita – meninggal dunia di hospital akibat cedera, kata Datuk Bandar, Michael Ludwig.

Dipercayai 14 orang lain masih berada di hospital, enam orang dalam keadaan parah.

Seorang pegawai polis termasuk mangsa yang cedera, kata Kementerian Dalam Negeri.

Serangan itu berlaku hanya beberapa jam sebelum Austria mengenakan sekatan pergerakan untuk membendung peningkatan kes koronavirus.

Ketika itu orang ramai keluar untuk berada di bar dan restoran sebelum ditutup hingga akhir November.

Polis memaklumkan kejadian itu bermula berhampiran rumah ibadat Seitenstettengasse, kuil utama di Vienna.

Pemimpin komuniti Yahudi, Oskar Deutsch menerusi Twitter berkata, kuil itu ditutup semasa serangan yang bermula pada jam 10 malam.

Seorang pegawai polis yang mengawal kuil itu antara mereka yang cedera, menurut akhbar Kronen Zeitung.

Setakat ini belum dipastikan jumlah penyerang yang terlibat. – MalaysiaGazette