Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 12 kematian akibat pandemik Covid-19 dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari tadi – jumlah kematian harian tertinggi direkodkan sejak penularan wabak tersebut di Malaysia.

Ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini adalah sebanyak 263 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, semua kes kematian terbaharu itu direkodkan di Sabah dan salah seorang mangsa adalah seorang remaja lelaki pendatang tanpa izin berusia 14 tahun.

Selain itu, katanya, korban Covid-19 juga melibatkan seorang warga tempatan berusia 64 tahun berlatarbelakangkan penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung dirawat dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

Lain-lain mangsa Covid-19 yang meninggal dunia dalam laporan terkini berusia antara 25 tahun dan 80 tahun. Kebanyakan mangsa mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung. – MalaysiaGazette