Bihi benih kelapa sawit, Yangambi ML161 yang dihasilkan di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak milik FGV.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV), pengeluar biji benih kelapa sawit terkemuka di Malaysia mendapat tempahan satu juta biji benih kelapa sawit untuk India.

Benih yang dijual adalah FGV Yangambi ML161, bahan tanaman kelapa sawit nombor satu dengan 43% perkongsian pasaran di Malaysia.

Pembeli terbaru adalah FGV Pre Unique, sebuah syarikat usaha sama antara FGV dan Pre-Unique Pvt Ltd untuk menembusi pasaran produk makanan di India.

FGV Pre Unique juga berfungsi sebagai perantara bagi FGV untuk mengembangkan pasaran benihnya di negara berkenaan terutamanya di negeri seperti Andhra Pradesh dan Telangana.

Syarikat usaha sama ini telah memperoleh pesanan sebanyak satu juta biji benih sawit untuk pelanggannya sejak bulan September, empat bulan selepas usaha sama itu ditubuhkan.

Syarikat perladangan terbesar kelapa sawit ini juga mensasarkan jualan sebanyak 1.5 juta biji lagi pada tahun 2021 berikutan peningkatan permintaan biji benih sawit premium dalam pasaran India.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, Yangambi ML161 mempunyai ciri-ciri  berbeza yang mana memberikan peratusan perahan minyak dan bilangan tandan lebih tinggi dengan tandan bersaiz sederhana.

Ia  sekali gus menjadikannya salah satu jenis benih sawit paling digemari industri minyak sawit di dalam dan luar negara.

”Saya yakin kehadiran FGV di India adalah langkah tepat untuk pengembangan perniagaan masa depan FGV. Selain dari India, Yangambi ML161 juga memenuhi permintaan tinggi di Indonesia dengan 1.5 juta biji terjual, Thailand dengan 0.56 juta biji terjual, Papua New Guinea dengan 0.32 juta biji terjual dan Sri Lanka dengan 0.25 juta biji terjual hingga kini.

”Ini membuktikan keunggulan dan kualiti produk benih kami yang dipercayai di pasaran luar negara,” tambah Haris Fadzilah.

Biji benih Yangambi ML161 dicipta melalui program pembiakbakaan dan penyelidikan sawit di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak milik FGV yang terletak di Jengka, Pahang, merupakan salah sebuah pusat penyelidikan kelapa sawit terbesar di Asia Tenggara.

Ia telah menerima anugerah berturut-turut Best Brand Oil Palm Germinated Seed oleh The BrandLaureate Awards dari 2012 hingga 2016 serta Brand Influencer Award untuk tahun 2018-2019. Ia merupakan pengiktirafan terhadap kejayaan program pembiakbakaan sawit FGV.

Selain Yangambi ML161, FGV juga menawarkan jenis biji benih Yangambi 3-Way, yang tumbuh menjadi pokok kelapa sawit dengan tetulang pelepah yang lebih pendek, ketinggian sederhana dan memberikan hasil minyak lebih tinggi berbanding dengan pokok kelapa sawit komersial lain.

Bahan tanaman ini menguntungkan industri dengan kepadatan penanaman yang lebih tinggi di tanah yang sedikit, dengan ciri-ciri seperti jumlah tandan yang tinggi sambil mengekalkan saiz tandan yang sederhana.

Pengeluaran biji benih tahunan FGV adalah berjumlah sebanyak 20 juta dan sejak dilancarkan dan dikomersialkan pada tahun 2002, FGV telah menjual sebanyak 400 juta biji benih, bersamaan dengan sekitar 2 juta hektar tanah yang ditanam.

Katanya, semua bahan tanaman kelapa sawit FGV juga telah menerima kelulusan piawaian Malaysian Standard MS157: 2017. – MalaysiaGazette