Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi daerah Seremban yang akan dikuat kuasakan mulai jam 12.01 tengah malam ini sehingga 18 November tidak akan menjejaskan sektor ekonomi negeri itu.

Ini kerana, menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun, sepanjang tempoh PKPB itu, peniaga, pengusaha dan operator di sektor masing-masing boleh beroperasi, tetapi dengan norma baharu.

Kata beliau, pelaksanaan PKPB daerah Seremban dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokasi di Putra Point Nilai sejak 28 Oktober lalu adalah untuk memudahkan petugas barisan hadapan menjalankan tugasan siasatan, mengesan dan mengenal pasti kontak rapat serta punca jangkitan.

“Ini juga membolehkan pegawai dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban serta Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menjalankan proses saringan dengan lebih efektif dan inklusif selaras dengan objektif PKPB yang menekankan kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kata Aminuddin, dengan pelaksanaan PKPB itu, pihaknya mendapat nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, polis, Majlis Bandaraya Seremban serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk mengemukakan cadangan kawasan atau lokaliti yang terlibat serta prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kepada Kerajaan Persekutuan untuk pengesahan.

Katanya, PKPB daerah Seremban merangkumi 95 mukim melibatkan 658 taman perumahan.

Beliau berkata, kebelakangan ini Negeri Sembilan merekodkan peningkatan kes Covid-19 menyebabkan Zon Nilai dilaksanakan PKPB dan PKPD di beberapa lokasi di Putra Point Nilai.

Jelasnya, pola peningkatan kes khususnya di Seremban tambahan pula dengan kewujudan beberapa kluster baharu yang dikesan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, merupakan justifikasi utama kerajaan negeri untuk melaksanakan PKPB bagi mengekang dan mengawal pergerakan orang ramai dan mengelakkan penularan dari terus meningkat. – MalaysiaGazette