Dakwaan seorang pakar keselamatan jalan raya bahawa individu yang tidak mempunyai lesen memandu tidak layak menuntut sebarang faedah jika terlibat dalam kemalangan jalan raya tidak benar.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memberi jaminan akan memastikan kakitangan Malindo Air yang diberhentikan baru-baru ini menerima faedah kehilangan pekerja melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, seramai 439 kakitangan Malindo Airways yang menerima notis cuti tanpa gaji untuk tempoh setahun boleh menganggap bahawa kontrak perkhidmatan mereka telah terputus.

Untuk itu, katanya, mereka boleh mengemukakan tuntutan kehilangan pekerjaan di bawah SIP bagi mendapatkan  bantuan untuk kelangsungan hidup sementara.

Dalam masa yang sama kata beliau, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membantu mereka dalam carian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.

“Kakitangan Malindo Airways juga layak untuk mengikuti program latihan (reskilling, upskilling) yang disediakan oleh PERKESO atau Pembangunan Sumber Manusia
Berhad (PSMB), di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saravanan, para pekerja yang terlibat dengan pemberhentian kerja dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat PERKESO yang berhampiran.

Terdahulu KSM melalui jabatan dan agensi, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO katanya telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Malindo Airways pada 3 November 2020 bagi memastikan hak-hak pekerja yang terjejas dilindungi dan diberikan bantuan yang sewajarnya.

Pertemuan ini susulan pekerja syarikat berkenaan mendakwa tidak menerima pampasan yang munasabah selepas dibuang dalam tempoh 60 hari.

Dalam perbincangan yang diadakan semalam, Saravanan berkata pihak pengurusan Malindo Airways menyatakan bahawa mereka menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan iaitu bagi bulan April dan Mei 2020.

“Bayaran ERP untuk bulan April telah memberi manfaat kepada 2,112 pekerja Malindo Airways yang melibatkan bayaran sebanyak RM1.26 juta. Sementara itu, bayaran ERP bagi bulan Mei pula telah disampaikan kepada 2,478 pekerja yang membabitkan bayaran RM1.48 juta.

“Semua kakitangan syarikat tersebut yang menerima ERP tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan. Pihak Malindo Airways juga mengesahkan bahawa kesemua bayaran yang diterima, telah disalurkan kepada semua,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa rekod PERKESO menunjukkan bahawa Malindo Airways telah menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) berjumlah RM240,000.00 bagi bulan Julai dan Ogos 2020 untuk 200 orang pekerja. – MalaysiaGazette