Gambar hiasan

SERANGAN wabak Covid-19 telah memberikan kesan yang terlalu besar kepada kehidupan seharian rakyat. Tatkala belum ada sebarang tanda penemuan vaksin untuk menyembuhkan virus ini, trend turun naik kes serta peningkatan angka
kematian semakin menggusarkan anggota masyarakat. Jadi pada ketika ini antara tiga keperluan utama rakyat ialah, peluang pekerjaan untuk kelangsungan hidup, wang tunai di tangan untuk perbelanjaan seharian serta jaminan keselamatan kesihatan dari ancaman wabak ini.

Kesan langsung serangan wabak ini kepada ekonomi negara menyebabkan ramai yang hilang pekerjaan dalam sekelip mata. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga kini bilangan individu yang diberhentikan kerja semakin merisaukan. Walaupun sekarang hampir semua sektor ekonomi mula beroperasi semula namun majikan t idak berani mengambil risiko untuk membuka peluang pekerjaan yang banyak. Hal ini kerana ancaman wabak ini masih berterusan
dan proses pemulihan ekonomi pula agak terlalu perlahan. Ini ditambah pula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan yang sekali gus terus
mengancam kehidupan rakyat dan sektor ekonomi setempat.

Dalam konteks ini kita juga tidak boleh menyalahkan para majikan kerana mereka terpaksa mencari jalan untuk mengurangkan kerugian dan kos operasi dengan cara mengurangkan bilangan pekerja. Jika tidak majikan akan mengalami kerugian yang besar dan tidak mampu meneruskan operasi mereka. Dalam keadaan ini, majikan juga sangat memerlukan bantuan agar dapat meneruskan operasi sambil membuka lebih banyak peluangĀ  pekerjaan.

Dalam situasi ini cuba bayangkan apa nasib seorang ketua keluarga iaitu suami dan bapa yang secara tiba-tiba diberhentikan kerja. Bagaimana keluarga ini mampuĀ meneruskan kehidupan? Terlalu sukar untuk kita menggambarkan keperitan yang
sedang dilalui oleh anggota masyarakat terutamanya dari kategori kelompok berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) bila hilang sumber pendapatan secara total. Jadi keperluan utama mereka pada ketika ini ialah peluang pekerjana
untuk meneruskan kelangsungan hidup diri dan keluarga masing-masing.

Apabila ramai yang hilang pekerjaan, keadaan ekonomi pula sangat tidak menentu dan ini ditambah pula dengan kenaikan kos sara hidup, maka satu lagi keperluan mendesak rakyat ialah ketiadaan wang tunai di tangan untuk menampung keperluan
perbelanjaan harian. Ironinya golongan B40 dan M40 tidak mempunyai tabungan atau simpanan tunai yang mencukupi untuk digunakan ketika waktu kecemasan seperti ini kerana sekian lama hidup mereka adalah umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Jadi mereka terputus sumber wang tunai apabila secara tiba-tiba hilang pekerjaan.

Jadi bayangkan dari mana mereka mahu dapatkan wang tunai untuk beli barang dapur, makanan dan keperluan harian yang lain? Kita hargai bantuan tunai yang kerajaan sediakan seperti Bantuan Prihatian Nasional (BPN), namun perlu diingat jumlah yang diterima tidak akan bertahan lama kerana keperluan dan kos perbelajaan sebenar jauh lebih banyak dari apa yang diterima. Justeru perlu diterima hakikat rakyat sedang bergelut dengan masalah ketiadaan wang tunai di tangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ancaman kepada keselamatan dan kesihatan diri dan keluarga terus mencetuskan keresahan dalam kalangan anggota masyarakat. Trend turun naik kes Covid-19 sejak kebelakangan ini sangat merisaukan. Ini menunjukkan kita masih belum berjaya
mengawal penularan wabak ini sepenuhnya. Kita masih bergelut di medan perang melawan virus yang tidak kelihatan. Ini menyebabkan rakyat mula takut dan risau memikirkan keselamatan dan kesihatan keluarga. Jadi rakyat mahukan jaminan bahawa kita dapat mengawal penularan wabak dan melindungi keselamatan dan kesihatan semua.

Justeru besarlah harapan kita agar tiga keperluan mendesak ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan demi kesejahteraan dan kelangsungan seluruh anggota masyarakat. Semoga kita akan terus cekal mengharungi ujian dan dugaan
besar yang sedang melanda seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa