Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa beramah mesra bersama pemandu teksi yang menerima Bantuan Makanan Asas Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang diberikan secara pandu-lalu kepada pemandu teksi yang layak di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).foto AFIQ HAMBALI, 5 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Majlis Menteri Wilayah Persekutuan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) hanya melibatkan wakil-wakil rakyat kerajaan dan tiada ruang diberikan kepada ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sekiranya majlis itu mahu dikembalikan, beliau akan memastikan amalan berat sebelah itu tidak diteruskan dan semua wakil rakyat dan pemimpin masyarakat akan dilibatkan.

“Dulu Majlis Menteri Wilayah itu dibuat untuk wakil rakyat kerajaan, waktu PH kerajaan, dia ada Majlis Menteri Wilayah. Menteri panggil kebanyakannya hanya wakil rakyat kerajaan,

“Pada saya kalau kita nak buat, semua wakil rakyat kena dilayan sama rata.

“Di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) ini kita ada Labuan dan Putrajaya, tak boleh buat Kuala Lumpur sahaja di bawah DBKL sahaja.

“Kalau saya nak buat, biar libatkan seluruh Wilayah Persekutuan dan semua wakil rakyat kita kena layan sama, tak boleh eksklusif hanya wakil rakyat sahaja.

“Ada pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk dan Lembaga Penasihat DBKL mungkin kita boleh libatkan sekali,” katanya dalam sidang media di pekarangan bangunan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan bantuan makanan asas kepada 40 penerima di mana kebanyakannya adalah pemandu teksi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun.

Semalam Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mendesak Annuar untuk mengaktifkan semula Majlis Menteri Wilayah.

Menurut Fahmi, majlis itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen di kawasan Kuala Lumpur terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta memberi maklum balas mengenai perkara yang berlaku di ibu negara.

Majlis Menteri Wilayah itu diperkenalkan ketika pemerintahan PH, namun dihentikan selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pentadbiran negara.

Tan Sri Annuar Musa menyampaikan Bantuan Makanan Asas kepada pemandu teksi di Kuala Lumpur yang layak secara pandu-lalu di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 5 NOVEMBER 2020

Annuar juga melahirkan rasa kesal dengan sikap wakil rakyat pembangkang yang hanya menggunakan sidang Parlimen untuk meraih publisiti sedang tiada permohonan mahupun cadangan dikemukakan kepada pejabatnya.

“Saya sedang mengkaji cadangan itu, masalahnya mereka bercakap kepada media, saya periksa di pejabat tak ada pun surat atau cadangan dan tiap-tiap kali bila ada sidang Parlimen, mereka buat publisiti.

“Saya tengok macam ada nakal sikit tapi saya tak nak pertikaikan, soal nawaitu saya tengok dari sudut yang baik.

“Maka saya telah beri arahan kepada Ketua Setiausaha KWP untuk buat kajian,” jelasnya.

Sebaliknya Annuar mengajak semua pihak terutama pemimpin untuk bertemu dengan beliau dan pejabatnya sentiasa terbuka kepada mana-mana wakil rakyat dan pemimpin masyarakat jika ada masalah rakyat.

Tan Sri Annuar Musa menyampaikan Bantuan Makanan Asas kepada pemandu teksi di Kuala Lumpur yang layak secara pandu-lalu turut serta Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun (kanan) di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 5 NOVEMBER 2020

“Saya cadang kepada wakil rakyat jangan tunggu mesyuarat, ramai wakil rakyat termasuk DAP datang ke pejabat saya untuk bincang.

“Ramai juga yang ikut walkabout saya, ada juga buat side meeting waktu Parlimen bersidang

“Tak usah cuba jadikan isu, cuba bagi gambaran kalau tak ada meeting dengan wakil rakyat pembangkang, bermakna saya cuai tugas, tidak begitu.

“Saya terbuka boleh datang bila-bila masa tak payah buat temu janji, di pejabat saya tak pakai sangat sistem appointment, kalau orang boleh redah pintu, dia redah saja laa, saya ada jumpa saja laa,” katanya.

Sebagai langkah permulaan, wakil rakyat pembangkang boleh terus ke pejabat beliau tanpa perlu sebarang temu janji.

“Wakil rakyat tak payah temu janji, kalau ada masalah hal rakyat, bawa, malam ke siang bila-bila masa saya terbuka terima pandangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette