Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh mengisytiharkan darurat bagi kawasan Parlimen Batu Sapi dan Sarawak berikutan pilihan raya itu yang akan berlangsung dalam tempoh terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana Seri Paduka memiliki kuasa yang jelas untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh negara atau mana-mana bahagian berdasarkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru jelas beliau, kerajaan sedia mempertimbangkan keperluan untuk menasihati YDPA kerana ia dibolehkan menurut Perlembagaan.

“Jika dirasakan perlu, kerajaan akan memikirkan (beri nasihat kepada YDPA), kalau tidak keseluruhan (negara) atau mana-mana bahagian (kawasan tertentu untuk dilaksanakan darurat).

“Pokoknya dari segi Perlembagaan, ia adalah dibolehkan,” katanya pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) sama ada kerajaan bercadang menghadap YDPA sekali lagi bagi mendapatkan perkenan isytihar darurat di kawasan tertentu bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak berikutan penularan Covid-19.

Menjawab soalan asal Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kerajaan menyatakan kos disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRN Sabah baru-baru ini, Takiyuddin berkata, ia membabitkan peruntukan sebanyak RM130 juta.

“Kos bagi pelaksanaan PRN Sabah oleh SPR adalah berjumlah RM130 juta yang merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, keperluan peralatan dan sistem komunikasi dan teknologi, logistik, elaun petugas pilihan raya serta keperluan lain yang berkaitan.

“Perbelanjaan ini turut mengambil kira keperluan peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette