Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 merupakan belanjawan peduli rakyat kerana meletakkan penduduk negara ini sebagai keutamaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, ini terbukti apabila belanjawan itu merangkumi semua golongan rakyat bermula golongan berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.

Ia seiring dengan situasi semasa yang mana majoriti masyarakat terjejas akibat pandemik Covid-19, ujarnya.

Adnan menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai bukti kerajaan tidak menyisihkan sektor perkhidmatan awam ia meliputi pemerkasaan bidang tersebut dalam pelbagai aspek.

Malah beliau gembira apabila belanjawan yang dibentangkan pada petang tadi berlandaskan sepenuhnya cadangan yang disuarakan kesatuan berkenaan.

“CUEPACS bagi pihak Penjawat Awam menzahirkan penghargaan tertiggi kepada kerajaan kerana tetap memberikan keutamaan kepada sektor perkhidmatan awam.

Keutamaan tersebut meliputi pelbagai aspek seperti pemerkasaan sistem perkhidmatan serta tidak lupa dalam hal-hal kebajikan penjawat awam itu sendiri.

“CUEPACS melihat belanjawan yang dibentangkan tersebut telah mempertimbangkan sepenuhnya cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS sebelum ini seperti pemerkasaan penyampaian perkhidmatan awam (pembinaan UTC, kiosk JPJ, RM14 juta tambah baik infra dan ict kementerian luar), peruntukan RM310 juta Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia, pengukuhan tadbir urus dan integriti serta hal-hal kebajikan penjawat awam itu sendiri (insuran kemalangan diri percuma kepada peminjam LPPSA, bantuan khas kewangan RM600, elaun frontliner dan Bantuan Prihatin Rakyat),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Adnan, biarpun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan awam, fokus yang diberikan untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan.

Sementara itu, beliau juga berpuas hati dengan bantuan yang diberikan kepada isi rumah yang akan bermanfaat kepada penjawat awam yang layak menerima bantuan.

“Belanjawan ini juga banyak memberi manfaat kepada penjawat awam terutama mereka yang terdiri isi rumah yang perlu dibantu.

“Harus diingatkan bahawa tidak semua penjawat awam yang berpendapatan tinggi malah ada dalam kalangan mereka mempunyai pasangan yang turut sama-sama terjejas ekoran pandemik Covid-19,” ujarnya.

Tambah Adnan, fokus kerajaan terhadap golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah perlu disokong memandangkan mereka merupakan antara yang paling terkesan daripada Covid-19.

Adnan turut gembira dengan pemberian ‘one-off’ sebanyak RM500 yang diberikan kepada petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun katanya, pemberian itu perlu diperluaskan kepada anggota polis dan tentera yang turut terlibat dalam usaha mengawal penularan Covid-19. – MalaysiaGazette