ACP Nik Ezanee Mohd Faisal.

PETALING JAYA – Seorang anggota polis yang ditahan kerana dakwaan terlibat dalam kesalahan menyeludup warga asing cuba mengugut untuk membalas dendam terhadap pegawai polis yang menahannya.

Mangsa yang juga seorang pegawai kanan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya itu kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 1 tengahari semalam apabila polis menerima laporan daripada mangsa.

Katanya, pegawai kanan itu terlibat dalam sesi soal siasat sekitar jam 11.30 pagi ke atas suspek seorang anggota polis yang ditahan atas kesalahan penyeludupan lapan migran Indonesia tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Semasa sesi soal siasat dikendalikan ke atas suspek, pegawai kanan BIPS diugut oleh suspek (anggota polis) yang menyatakan hendak membuat tohmahan terhadap pegawai kanan berkenaan (pengadu) kerana telah menangkap dia.

“Malah menurut pengadu (pegawai kanan polis BIPS), suspek menuduh pegawai berkenaan telah menganiaya dirinya dan akan membalas balik perbuatan pengadu (pegawai kanan) kerana menahannya.

“Pegawai kanan itu kini bimbang tohmahan tersebut akan menjatuhkan reputasinya dan juga pasukan PDRM,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Nik Ezanee, rentetan laporan pengadu itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan terhadap suspek yang ditahan atas kesalahan menyeludup migran Indonesia itu.

Katanya, siasatan juga dibuat atas dakwaan  suspek kerana telah melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah terhadap pengadu dengan ugutan hendak membuat tohmahan untuk menjatuhkan nama baik pengadu.

“Jika disabitkan kesalahan suspek boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” ujarnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sikap begini buat rakyat akan hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa apabila terdapat setengah pihak penguatkuasa terlibat dengan pelanggaran Undang-undang.
    Ketegasan Ketua sesuatu pihak berkuasa terhadap pelanggaran displin serta pelanggaran undang-undang perlu.Setiap ketua wajib turun kelapangan sekerap yang mungkin supaya tiada pelanggaran atau salah guna kuasa supaya masyarakat/rakyat yakin kepada anda.

Comments are closed.