Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Pengumuman pemberian secara one -off sebanyak RM500 kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) benar-benar menunjukan kerajaan sangat menghargai jasa dan pengorbanan anggota barisan hadapanĀ  dalam menangani pandemik Covid-19.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam memberikan peruntukan dalam usaha mengekang Covid-19.

“Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berbesar hati apabila cadangan agar kerajaan memberikan penghargaan kepada golongan barisan hadapan menjadi realiti.

“Kerajaan setuju laksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 bagi menghargai jasa anggota barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memanfaatkan 100,00 petugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kerajaan juga dilihat komited apabila memperuntukkan dana untuk mendapatkan sumber vaksin Covid-19 antaranya melalui penyertaan Covid-19 Vaccine Access (COVAX) dengan jangkaan kos bekalan vaksin melebihi RM3 billion.

Tambah beliau, daripada sudut ketahanan ekonomi rakyat dan anak muda, DPIM berpandangan semua pihak perlu memperhalusi cadangan ‘bersasar’ pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang nampaknya tidak menyeluruh.

Ujarnya, cadangan umur ‘bujang’ juga yang nampaknya diturunkan daripada 40 tahun kepada 21 tahun, perlu diperhalusi agar tiada golongan anak muda yang keciciran dalam dengan pemberian itu.

“DPIM mencadangkan pihak kerajaan dan pihak pembangkang untuk berbincang dan membahaskan usul belanjawan secara berhemah demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Pada masa yang sama, DPIM akan memberikan pandangan kami kepada pihak kementerian secara terus dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette