Putera Mahkota Mohammed bin Salman ketika mengunjung Donald Trump di Pejabat Oval di White House pada 20 Mac 2018. foto Agensi

RIYADH – Berbanding negara Arab yang lain, Arab Saudi dilihat mengalami lebih banyak kerugian apabila Joe Biden berjaya merampas kerusi Presiden Amerika Syarikat (AS) daripada Donald Trump.

Ini menyebabkan pemimpin negara beraja itu mengambil masa yang lebih lama untuk mengeluarkan komen mengenai keputusan pilihan raya AS.

Ketika negara-negara Arab yang lain berlumba-lumba untuk mengucapkan tahniah kepada pencabar daripada parti Demokrat itu, ketua de-facto, Putera Mahkota Mohammed bin Salman masih memilih untuk berdiam diri daripada memberi sebarang komen terhadap keputusan pilihan raya Presiden AS tetapi pada waktu sama telah menghantar ucapan tahniah di atas pelantikan semula Presiden Tanzania.

Hubungan rapat peribadi di antara Putera Mahkota itu dengan Trump telah memberikan satu penampan kukuh kepada Riyadh dalam menghadapi kritikan antarabangsa berhubung kematian wartawan Jamal Khashoggi, peranan Arab Saudi dalam perang Yaman dan isu penahanan aktivis-aktivis wanita.

Isu-isu tersebut mungkin akan menjadi perbalahan di antara Biden dan Arab Saudi yang juga pengeksport utama minyak ke AS serta pembeli senjata api dari negara Uncle Sam itu.

“Satu-satunya perkara yang lebih buruk daripada Covid-19 adalah BIDEN-20,” kata seorang pengguna dari Arab Saudi, Dr. Muna. – Agensi