Dr Mohd Izani Mohamed Rawi, 48 (kiri) bersama adik-beradik lain menanti jenazah, Mohd Irfan Mohamed Rawi di Hospital Kuala Lumpur (HKL). foto SYAFIQ AMBAK, 08 NOVEMBER 2020.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa nahas helikopter yang terhempas di Taman Melawati kira-kira jam 11.46 pagi tadi.
“Saya berasa amat sedih apabila mendapat berita mendukacitakan mengenai kemalangan dua buah helikopter yang mengakibatkan kematian dua juruterbang, pagi tadi.
“Saya difahamkan dua lagi juruterbang dalam kemalangan yang berlaku di kawasan Taman Melawati, Ampang itu mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan perubatan.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa nahas helikopter atas kehilangan orang tersayang dan tabah dalam menghadapi ujian ini.
“Kepada juruterbang yang tercedera, didoakan semoga kedua-duanya diberikan kesembuhan. Amin,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook.
Dalam kejadian malang itu, dua helikopter dalam penerbangan dari Subang ke Genting Sempah telah bertembung dan terhempas menyebabkan dua maut iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri Baharom, 56.

Manakala dua yang terselamat pula adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan Tan Chai Elan.
Perkembangan terkini kejadian itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohamad Farouk Eshak dalam sidang media di lokasi.
Jenazah mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette