Mohd Zuki Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyampaian perkhidmatan sebanyak 40 peratus menjelang akhir tahun 2020 berbanding sasaran tahun 2019 sebanyak 20.2 peratus bagi perkhidmatan dalam talian end-to-end (E2E) sepenuhnya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada sistem penyampaian kerajaan apabila rakyat dan komuniti perniagaan menghadapi masalah untuk hadir berurusan di agensi kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Oleh yang demikian, kita telah mengarahkan agar Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merangka dan menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan Kerajaan ke arah pengamalan norma baharu pasca Covid-19.

“Fokus akan diberikan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan industri 4.0 yang menjurus kepada perkhidmatan E2E,” katanya ketika merasmikan Majlis Kick-Off Projek Rintis Sistem Penyampaian Kerajaan ke Arah Pengamalan Norma Baharu Pasca Covid-19 anjuran MAMPU bersama-sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Putrajaya hari ini.

Pada peringkat awal, dua buah agensi iaitu JPJ dan JIM telah dipilih sebagai agensi projek rintis dalam peningkatan perkhidmatan E2E, pemantapan proses kerja dan pengurangan perkhidmatan kaunter.

Projek ini dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh masa enam bulan mulai November 2020.

“Kerajaan akan terus meningkatkan lagi perkhidmatan E2E ini walaupun perlu menghadapi beberapa cabaran yang telah dikenalpasti seperti kekangan akta dan peraturan, prasarana ICT dan kekangan peruntukan.” tambahnya lagi.

Oleh itu, adalah penting untuk semua agensi kerajaan menyediakan pelan strategik pendigitalan secara menyeluruh yang merangkumi keselamatan komunikasi, rangkaian siber serta mengkaji semula perundangan dan peraturan bagi meningkatkan tadbir urus pengurusan data kerajaan. – MalaysiaGazette