Foto Instagram Adi Putra.

KUALA LUMPUR – Pelakon Datuk Adi Putra meluahkan rasa terkilan dan kesal selepas tawaran berlakon dalam satu drama bersir ditarik balik gara-gara sejumlah bayaran yang dimintanya agak tinggi.

Menerusi perkongsian di Instagram, Adi berkata dia mempunyai alasan tersendiri mengapa dia meletakkan harga sedemikian.

Pelakon berusia 39 tahun itu berkata niatnya hanya ingin menggunakan wang tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Saya dapat tawaran drama bersiri, saya letak gaji tinggi yang memadai…lepas tu tak jadi, dikatakan saya demand. Kenapa saya buat begitu? Kerana niat saya nak bantu rakyat yang susah dari semua gaji saya.

“Mungkin bukan rezeki mereka yang saya nak bantu, sebab pihak berkenaan tak memahami saya,” tulisnya.

Sementara itu, Adi berkata tiada salahnya untuk dia meletakkan harga tinggi kerana yakin mampu memberikan hasil kerja yang baik.

Namun, dia redha jika sudah tertulis bukan rezekinya.

“Tapi tak salahkan letak gaji tinggi kerana mampu memberi kualiti. Ada pihak yang faham ada yang tidak. InsyaAllah ada rezeki tak kemana. Rezeki ini bukan untuk saya. Ini rezeki rakyat.

“Saya bukan bercakap pasal bayaran, ini untuk orang yang memerlukan. Siapa yang komen negatif sebelum ini semoga Allah memberkati dan merahmati anda,” katanya. – MalaysiaGazette