Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Biro Politik PKR akan mengadakan satu mesyuarat esok mengenai isu pencemaran air berulang di Selangor.

Menurut Pengarah Komunikasi parti itu, Fahmi Fadzil mesyuarat itu juga akan mendesak kerajaan negeri Selangor membentangkan laporan penuh mengenai pencemaran yang sering berlaku di negeri itu.

“PKR amat memahami kegusaran dan kemarahan lebih 1 juta akaun pengguna di 1,279 kawasan di Lembah Klang yang terkesan sekali lagi dengan gangguan bekalan air akibat penutupan Loji Rawatan Air Rantau Panjang, Fasa 1, Fasa 2, dan Fasa 3 hari ini.

“Oleh itu, Biro Politik KEADILAN akan mengadakan mesyuarat pada hari esok dan antara lain akan meminta laporan penuh berkenaan isu ini dibentang dan dibincangkan dengan teliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam pada itu berkata, PKR memandang serius tentang kekerapan berlakunya krisis air di Selangor.

Malah parti itu menuntut agar kerajaan negeri segera menangani permasalahan ini.

“PKR memandang serius isu gangguan bekalan air yang sering berulang ini, dan pihak Kerajaan Negeri serta agensi-agensi terbabit perlu menanganinya pada kadar segera,” katanya lagi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan menutup empat loji rawatan air (LRA) akibat pencemaran air.

Penutupan LRA Sungai Selangor dan Rantau Panjang, menyebabkan 1,279 kawasan terjejas di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Dengan penutupan itu, sejumlah 1,139,008 isi rumah di Lembah Klang akan terputus bekalan air mulai 6 petang ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Masa Azmin jadi MB dulu, air tiada pun rakyat tidak merunggut sangat, sebab dapat subsidi air percuma tidak perlu bayar bil tetapi sekarang ini sudah bayar bil air pun air tiada.

Comments are closed.