Gambar hiasan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura

HONG KONG/ SINGAPURA – Penduduk Hong Kong dan Singapura boleh terbang ke kedua-dua bandar berkenaan tanpa perlu menjalani kuarantin bermula 22 November ini.

Setiausaha Perdagangan Hong Kong dan Menteri Pengangkutan Singapura berkata, gelembung perjalanan itu akan dimulai dengan satu penerbangan sehari ke setiap bandar dengan kuota seramai 200 pengembara bagi setiap pesawat, lapor Reuters.

Jumlah tersebut akan dinaikkan kepada dua penerbangan sehari ke setiap bandar bermula 12 Disember ini.

Sekiranya situasi Covid-19 semakin teruk di salah sebuah bandar berkenaan, gelembung perjalanan itu akan digantung, katanya.

Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung bertaya, beliau percaya gelembung perjalanan yang pertama kali dilaksanakan di dunia itu membolehkan kedua-dua bandar berkenaan membuka sempadan masing-masing secara terkawal dan dalam masa yang sama masih menjaga keselamatan.

“Kami mungkin bermula dengan langkah yang kecil tetapi ianya sangat penting.

“Ini akan dijadikan rujukan berguna kepada negara-negara dan rantau lain yang telah berjaya mengawal pandemik tetapi masih menimbang sama ada mahu membuka sempadan atau tidak,” katanya.

Langkah terbaharu itu mewajibkan semua pengembara dari kedua-dua bandar berkenaan menaiki pesawat yang telah ditetapkan dan perlu menjalani saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Pengembara tidak perlu dikuarantin dan bebas untuk mengembara tanpa perlu menyatakan tujuan khusus.

Gelembung perjalanan itu hanya akan menggunakan penerbangan Cathay Pacific dan Singapore Airlines, kata pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast