Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menyerbu sebuah rumah yang dijadikan kelas yoga dan menahan sembilan individu, termasuk seorang wanita United Kingdom.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, serbuan yang diketuai Ketua Balai Polis Sri Hartamas dilakukan pada jam 8.50 pagi semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam..

“Dalam serbuan di Jalan 45/70 Desa Sri Hartamas itu, penganjur kelas yoga di rumah itu tidak memberikan kerjasama dan cuba mempertikaikan tindakan polis untuk membuat pemeriksaan serta pemantauan prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di rumah itu.

“Siasatan lanjut premis itu adalah ia milik persendirian dan dijadikan pusat latihan yoga yang tidak mematuhi syarat-syarat PKPB.

“Pemeriksaan di dalam premis mendapati seramai lapan wanita tempatan dan seorang wanita UK juga peserta yang mengikuti aktiviti yoga tanpa penjarakan fizikal di premis berkenaan,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka berusia antara 40 hingga 60 tahun termasuk penjaga premis berkenaan telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Sri Hartamas dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 seorang.

Menurut Mohd Zainuddin, mereka dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar SOP PKPB di bawah Peraturan 11, Peraturan Pencegagan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Hasil siasatan pusat yoga ini beroperasi lebih setahun namun sejak PKPB dilaksana ia beroperasi secara on off.

“Penjaga premis atau penganjur wanita berusia 37 tahun itu turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas yang boleh membawa hukuman penjara tiga bulan atau denda RM1000 atau kedua-duanya,” katanya. – MalaysiaGazette