KESELAMATAN, keamanan dan kebahagiaan adalah hak milik semua. Tiada siapa yang boleh menafikan hakikat nikmat itu, kerana kita dijadikan bukan untuk dikasari atau diganasi oleh sesiapa. Boleh jadi, inilah isu yang jarang diambil perhatian oleh masyarakat mahupun diri seseorang yang dinafikan hak mendapatkan nikmat itu.
Inilah jenayah senyap yang sering membabitkan wanita dan kanak-kanak, semakin berleluasa dalam masyarakat di negara ini. Isu yang sebenarnya, banyak berlegar dalam kehidupan kita. Bagaimana ia dapat ditangani dan dibendung? Tentulah bermula dari dalam diri kita sendiri.
Pada tahun 1993, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menjelaskan Deklarasi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita ditakrifkan sebagai “sebarang tindakan keganasan berdasarkan jantina yang menyebabkan atau boleh menyebabkan kecederaan fizikal, seksual atau psikologikal atau kesengsaraan kepada wanita, termasuk tindakan ugutan, paksaan atau kurang kebebasan, samada berlaku di tempat awam atau dalam kehidupan peribadi. Dan juga, keganasan berdasarkan jantina boleh berlaku kepada sesiapa dan di mana sahaja.
Dan pada tahun 1979, PBB telah menerima pakai Konvensyen Penghapusan Sebarang bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Konvensyen tersebut tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dan kekal menjadi masalah di seluruh dunia.
Oleh itu, PBB telah mengeluarkan resolusi kepada keganasan berdasarkan jantina di seluruh dunia. Oleh yang demikian, sejak tahun 1999, PBB telah menetapkan tarikh 25 November sebagai Hari Antarabangsa bagi penghapusan keganasan terhadap wanita.
Menjelang 2008, satu lagi inisiatif telah dilancarkan yang dinamakan UniTE untuk menamatkan keganasan terhadap wanita. Projek ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menamatkan keganasan tehadap wanita di seluruh dunia. Kesatuan Eropah dan PBB telah melancarkan Spotlight Initiative pada tahun 2017 untuk menghapuskan segala bentuk keganasan terhadap wanita dan gadis.
Menurut Shariffah Nuridah Aishah dan Noor’Ashikin (2010), kumpulan wanita yang kerap menjadi mangsa keganasan adalah wanita dalam kumpulan minoriti, orang asli wanita, pendatang wanita, tebusan wanita, wanita yang hidup dalam kemiskinan yang terasing dari pembangunan, wanita dalam tahanan, kanak-kanak perempuan, wanita cacat dan berumur.
Oleh yang demikian, perasaan takut kepada keganasan adalah penghalang yang bersifat kekal untuk wanita mencapai kemajuan yang memberi kesan kepada kesihatan, kedudukan sosial dan ekonomi wanita serta menyekat kebebasan bergerak. Keganasan terhadap wanita merupakan satu mekanisme sosial yang memaksa wanita untuk berada di tahap yang rendah berbanding lelaki.
Tidak disangka, terdapat beberapa bentuk jenayah keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini, yang mana ia memberi kesan yang sama khususnya terhadap kesejahteraan mental, fizikal, emosi dan psikologi mangsa.
Sebagaimana yang dikatakan Pengarah Program kempen Hentikan keganasan Terhadap Wanita, Prof Dr Hanim binti Salleh ketika bersiaran di TV IKRAM pada 1 November lalu; “Terdapat salah faham tentang keganasan wanita ini. Mungkin masyarakat akan nampak benda-benda fizikal sahaja. Namun, ia mencakupi ruang lingkup keganasan yang berlaku bukan sahaja fizikal tetapi seksual, psikologi, dan emosi. Sebagai contoh, keganasan
rumahtangga dan pemerdagangan manusia adalah antara bentuk lain. Gangguan seksual yang lain yang berkait dengan keganasan wanita seperti rogol, gangguan jalanan, gangguan siber, yang mana elimen ini ada yang mengambil ringan.”
Walaupun kebanyakan kita merasakan isu yang berlaku berkaitan masalah keluarga, namun apabila berlaku keganasan, ia sudah menjadi jenayah yang perlu diambil peduli oleh jiran tetangga mahupun masyarakat sekeliling.
Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Januari hingga November tahun lalu menunjukkan terdapat 4,963 kes membabitkan penderaan seksual terhadap wanita yang mana tidak termasuk penderaan dari segi mental dan fizikal. Namun, isu ini sangat membimbangkan kita semua.
Dalam sisi lain, pendedahan berkaitan hal ini perlulah diperluaskan kepada golongan wanita mengenai hak mereka sekiranya berdepan dengan isu keganasan. Sebelumnya Dr Asma’ Abu Samah selaku moderator ‘Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ di TvIKRAM yang berlangsung pada 1 November lalu memberitahu, tidak sampai sebulan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diakuatkuasakan kerajaan pada Mac lalu, kita dikejutkan dengan berita daripada Women’s Aid Organisation (WAO), Pertubuhan Pertolongan Wanita, melaporkan mereka menerima sebanyak 14 peratus bilangan panggilan dan juga aduan menerusi whatsapp. Dan dikatakan secara puratanya, mereka mendapat panggilan dan mesej whatsapp sebanyak dua kali lebih banyak daripada biasa.
Tentu khabar itu amat menakutkan kita sebagai wanita. Kita perlulah bersiap sedia mendepani situasi yang terjadi. Memberikan pendedahan yang sewajarnya kepada masyarakat mengenainya adalah satu langkah yang patut sering dan kerap dilakukan.
Pada 2015, (yang kini mantan) Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, berkata kerajaan sentiasa komited terhadap usaha memerangi keganasan terhadap wanita melalui pelaksanaan pelbagai program oleh agensi dan jabatan di bawah kementeriannya, selain peranan dimainkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Di Malaysia, walaupun kes keganasan terhadap wanita dilaporkan masih rendah, namun inisiatif awal perlu dilaksanakan bagi mencegah kes sedemikian dari terus berleluasa hingga ke tahap membimbangkan seperti yang berlaku di negara lain.”
Realiti yang perlu kita depani adalah; kita (semua wanita) perlulah mengubah persepsi bahawa dirinya sebagai golongan lemah dan membiarkan diri terus menjadi mangsa keganasan dan perlakuan jenayah sehingga membawa kemudaratan kepada mereka. Sebagaimana merujuk kajian yang dilakukan oleh IPSOS yang dilaksanakan pada tahun 2019, apabila mereka menyenaraikan beberapa isu yang menjadi perhatian kepada wanita antaranya Tiga isu utama yang menjadi kerisauan kepada wanita ialah; gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak perempuan di media dan keganasan rumahtangga.
“Ketiga-tiga isu yang dirisaukan wanita adalah berkaitan keselamatan mereka yang menyentuh isu keganasan di rumah, dan kali ini kita akan lihatkan bahawa isu itu, lebih besar daripada keganasan itu sendiri,” kata Penasihat Program Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita : Prof Madya Dr Roohaida Othman pada 1 November lalu. Tentunya, boleh jadi disebabkan berlaku sewenang-wenangnya, mangsa berasa malu dengan masyarakat sekeliling, maka ia senyapkan dan stigma pelanggaran hak ini kekal tidak dilaporkan di dunia pada masa kini.
Merujuk kepada Handbook for National Action Plans on Violence Against Women (2012), kebanyakan keganasan terhadap wanita dilakukan oleh orang yang dikenali wanita tersebut dan kebanyakan kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau masalah peribadi.
Tentunya, keganasan rumah tangga menyebabkan kesan trauma berpanjangan kepada mangsanya. Ada mangsa yang mengalami tekanan dan trauma jangka panjang dan kesan yang mendalam terutamanya kepada kanak-kanak. Maka, tidak dinafikan, keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini sangat banyak dan sudah sampai masa semua ini dinokhtahkan.
Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia, perlulah menyokong inisiatif yang dilakukan Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia bagi menangani isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak ini. “Kita semua perlu bertanggungjawab untuk memastikan adanya persekitaran yang selamat dan semua mengambil peranan dalam menangani isu terhadap wanita dan kanak-kanak ini,” kata Prof Madya Dr Roohaida Othman.
Jadi sesiapa yang terlibat dengan isu ini, seharusnya tidak berdiam diri menanggung sendiri segala apa yang dialami. Adalah lebih baik menceritakan kepada mereka yang terdekat dan dipercayai atau terus menghubungi pihak yang sepatutnya seperti menghubungi talian Talian Nur atau Talian Childline.
Pada 2007 Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mewujudkan Talian Nur 15999 dan talian Childline 15999 pada tahun 2010. Talian itu diwujudkan bagi membolehkan orang awam membuat aduan kes penderaan, keganasan, pembuangan bayi dan khidmat kaunseling.
Tentunya, Wanita IKRAM melakukan kempen ini bagi memberikan kefahaman kepada masyarakat, dan berkongsi apakah usaha-usaha yang telah dijalankan oleh ngo, oleh kementerian, pihak kerajaan, dan juga untuk mengajak semua bersama-sama terlibat secara langsung dalam isu ini.
Selain itu, Wanita IKRAM mengajak semua Rakyat Malaysia menyertai kempen yang akan berlangsung selama 2 bulan ini, dan mereka mensasarkan dapat mengumpulkan sebanyak 6000 gambar profil pengguna FB dan instagram. Selain itu, para peserta diminta meletakkan hastag; #Hentikan KeganasanTerhadapWanita2020 ; #WanitaDisayangiBukanDikasari dan #60Hari6000Profile
Bagi sesiapa yang ingin ikuti kempen ini, bolehlah berbuat demikian dengan mengikuti langkah-langkah yang tertera di laman FB Wanita IKRAM Malaysia.
Atriza Umar, IKRAM Malaysia.
















