Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) semasa pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 NOVEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Negara hari ini merekodkan tiga lagi kluster baharu Covid-19 dan kesemuanya di negeri Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketiga-tiga kluster itu adalah Kluster Karamunting, Kluster Saga dan Kluster Haven.

Katanya, Kluster Karamunting melibatkan daerah Sandakan di Sabah apabila kes indeks bagi kluster itu ialah kes ke-18,492 telah dikenal pasti positif Covid-19 dan hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober lalu telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

“Untuk kluster baharu ini, saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 20 lagi kes positif Covid-19 yang mana kesemua kes tersebut dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Kompleks Sukan Sandakan dan Dewan Rafflesia Sandakan.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 30 individu telah disaring yang mana 21 kes dikesan positif Covid-19 (enam kes baharu) manakala sembilan lagi individu dikesan negatif,” katanya dalam sidang media perkembangan kes harian hari ini.

Tambah Noor Hisham, kluster baharu yang kedua dilaporkan di negeri itu adalah Kluster Saga dikesan di Kota Kinabalu yang mana kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-41,492 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November lalu.

Menurut Noor Hisham lagi, saringan kontak rapat untuk kluster berkenaan berjaya mengesan sebanyak lapan lagi kes positif Covid-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Ujar beliau, sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 56 individu telah disaring yang mana sembilan kes dikesan positif termasuk lima kes baharu manakala 47 individu masih menunggu keputusan saringan.

“Kluster ketiga terbaharu adalah Kluster Haven dikesan di daerah Lahad Datu iaitu lima kes indeks bagi kluster ini telah dikenalpasti positif Covid-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 5 November lalu.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak enam lagi kes positif Covid-19 dan kesemua kes ini telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah
Program Perumahan Rakyat (PPR) Payang dan Hospital Lahad Datu.

“Sehingga 12 tengah hari ini, sejumlah 140 individu telah disaring dan 11 kes dikesan positif Covid-19 termasuk satu kes baharu manakala 112 individu dikesan negatif sementara 17 lagi individu masih menunggu keputusan,” katanya.- MalaysiaGazette