SETIAP kali keluar rumah, kami menahan lemas, bersiap siaga, pelitup muka dipakaikan dan cecair pembasmi kuman sentiasa menjadi peneman setia di sisi. Usai urusan pulang ke rumah pula, bermandikan keringat masam dan berlengas. Baru menarik nafas lega akibat gangguan air pada bulan Oktober lepas, kini pada 10
November bekalan air terganggu lagi apabila dimaklumkan Loji rawatan Air (LRA) Rantau panjang SSP 1,2, dan 3 telah dihenti tugas pada jam 12.20 tengah hari disebabkan oleh pencemaran bau seakan-akan solvent dikesan di Sungai Selangor.
Amalan harian yang sudahpun sukar dicacamerba pasca-Covid, dibebankan pula dengan gangguan bekalan air di beberapa daerah di Selangor. Kerajaan bertukar bersilih ganti, namun negeri yang pesat membangun dengan kotaraya maju lagi
metropolis, bagai indah khabar dari rupa. Mengapakah isu dangkal dan asas ini masih membelenggui bumi Darul Ehsan?
Kegelisahan Penduduk dicitrakan dengan omokan pawang-pawang satira menawarkan perubatan metafizikal kepada Jabatan Air Selangor sebagai pengubat gangguan-gangguan bekalan air di negeri ini. Masyarakat sudah muak menunggu penyelesaian rasional yang saban hari masih tidak tiba-tiba.
Pandangan sarwa masyarakat bahawa isu gangguan air ini bukan isu yang baru. Malahan hanya tiga bulan lalu bekalan air di 686 kawasan terjejas akibat gangguan air disebabkan oleh pencemaran bau di Sungai Selangor. Sudah tentu sukar untuk
diterima akal apabila gangguan kali ini juga disebabkan oleh pencemaran di sungai yang sama. Prakarsa kerajaan negeri seperti tumpul dan tidak berdaya untuk membanteras angkara korporat dan konglomerat keparat.
Namun adakah adil jika kegagalan ini di digelong oleh kerajaan negeri semata-mata? Sebelum Penulis pun turut serta menaiki kereta kuda pawang-pawang satira ini, perlulah membuat keputusan sendiri. Tidak mahu menjadi seperti si luncai terjun
dengan labu-labunya. Alang alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jangan marahkan nyamuk di bakar kelambu.
Jadi bermulalah pengembaraan dalam menelusuri bahasa-bahasa perundangan yang runyam dan rumit. Perjalanan penulis bermula dengan sebuah Akta Persekutuan berjudul Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Selesai membelek Akta ini penulis terpanggil dengan seksyen 3 (1) Akta tersebut, di mana jelas tertera Kuasa Eksekutif bagi segala perkara berkaitan bekalan air di seluruh Semenanjung Malaysia adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Manakala jika dirujuk AKAS ataupun Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar berperanan dalam melindungi sungai dan sumber air awam.
Jelas Menteri Alam Sekitar juga harus dipertanggungjawabkan dalam kegagalan urus tadbir yang menjurus kepada gangguan bekalan air di negeri tersebut. Sementelahan pula ada bukti bahawa kementerian memandang enteng saranan badan badan bukan kerajaan dalam usaha menambah keterampilan
penguatkuasaan aakta tersebut.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran, membuat pernyataan pada 7 September lalu pihaknya sudah mengemukakan cadangan pindaan segera terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974)
dengan menambah seksyen baharu yang membolehkan tuntutan kerugian oleh pihak yang terjejas.
"Seksyen ini akan membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuat pengiraan kehilangan pendapatan dan kos tambahan yang ditanggung pihak yang terbabit semasa kejadian pencemaran. Dengan cadangan pindaan itu, pesalah perlu
membayar denda, kos pembersihan dan tuntutan dari pihak yang terjejas," katanya. Namun nasi sudah menjadi bubur, sikap acuh tidak acuh, murba juga jadi mangsa.
Pada 3 November lalu, Menteri Alam Sekitar, Dato’ Sri Hasan bin Arifin membuat kenyataan di Parliemen bahawa daripada tempoh 1 Januari 2020 hingga 30 September 2020, 61 premis telah dibawa ke Mahkamah dan di dikenakan tindakan kompaun atas kesalahan berkaitan pencemaran air serta pengurusan buangan
terjadual. Jumlah keseluruhan denda adalah sebanyak RM 6.079 juta.
Beliau turut menghuraikan, empat pendekatan bagi penyelesaian jangka panjang gangguan bekalan air yang akan di ambil oleh KASA. Pertama, menubuhkan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) bagi mengawal selia dan penguatkuasaan bercogan “pencegahan dan hukuman”.
Kedua Program Denai Sungai Kebangsaan sebagai platform menggabungjalinkan masyarakat massa dan kerajaan untuk bersama-sama melestarikan sumber air.
Ketiga merangka untuk meningkatkan denda sehingga sebanyak RM 10 juta dan penjara daripada 1 tahun hingga 15 tahun atau kedua-duanya sekali.
Keempat mempertingkatkan rizab simpanan bagi jaminan bekalan air melalui peningkatan kapasiti kesediaan air terawat melalui penaikan taraf loji yang sedia ada ataupun binaan LRA yang baharu.
Selain itu pihak kementerian juga telah meletakkan sasaran untuk membanyakkan takungan air pinggiran sungai atau singkatanya (TAPS) bagi meningkatkan kapasiti takungan sumber air mentah.
Namun kementerian tidak bersedia untuk memperkenal hukuman penjara mandatori bagi pencemar sungai yang tegar, mahupun membenarkan pengguna menuntut ganti rugi dari pesalah yang mencemarkan sumber air atau syarikat industri .
Sejujurnya, pada hemat penulis, pendekatan yang diambil oleh Kementerian adalah sedikit hambar dan tidak padan dengan permasalahan yang acap kali timbul ini. Ini dibuktikan dengan insiden pencemaran di Rantau Panjang yang berlaku lagi baru-
baru ini. Penulis percaya masyarakat sudah jemu dengan cogan yang hanya ralit di sorak-sorak sebagai piagam. Kementerian harus mempersudikan penyelesaian yang lebih drastik termasuklah mempertanggungjawabkan konglomerat syarikat air
dengan tugas fidusiari agar mereka juga akan memastikan keabsahan bekalan air bagi rakyat.
Sebagai pengitlakan Kementerian Alam sekitar harus lebih proaktif dan menyambut baik cadangan-cadangan bernas dari badan-badan bukan kerajaan dan bukanya bersikap reaktif. Sudah terhantuk baru tengadah. Lebih-lebih lagi alpukah
Kementerian masih muntul dan berkongkalikung melindungi konglomerat syarikat industri air yang tidak effektif. Tuntasnya kerugian yang diakibatkan oleh pencemaran ini tidak adil untuk dipikul di bahu pengguna semata.
Akhir kalam, mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat marhaen untuk tidak lagi menunggu penyelesaian dari cabang eksekutif yang sibuk berpolemik dan berantakan, mahupun memasang harapan dari penggubal perundangan yang tercungap-cungap dan selektif dalam membuat pindaan, berganjaklah ke cabang
kehakiman dan memburu keadilan di situ.
Megat Syazlee Mokhtarom adalah seorang peguam litigasi di Kuala Lumpur.
















