Sebahagian daripada suasana di sekitar kawasan perumahan Medan 88 ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

SEPANG – Semua penduduk yang tinggal di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang berada di luar kawasan diminta untuk segera melaporkan diri mereka bagi tujuan saringan Covid-19.

Medan 88 kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A. Hamid berkata,  ini kerana lebih 400 penduduk di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi masih belum dikesan selepas PKPD bermula hari ini.

“Kita akan berbincang dengan pihak polis kalau ada yang melanggar arahan ditangkap, masuk lokap dan kompaun.

“Kepungan ini bertujuan untuk melakukan saringan kesihatan, saya harap orang diluar sana faham. Mereka yang di dalam PKPD  akan dijaga dengan baik-baik.

“Apa yang berlaku di PKPD Hentian di Kajang, apabila kita buat kepungan tengah malam bermula 00.01 pagi ada yang balik awal dan lambat.

“Ada di depan mata kita, penduduk keluar begitu sahaja.  Walaupun kita sasarkan 700-800 orang penduduk tetapi kita masig tidak dapat kesan 400 orang,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid ketika sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88 Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang. foto AFIQ HAMBALI, 12 NOVEMBER 2020

Kata Mohamad Zain, kepungan awal yang dibuat pada petang Selasa lalu bertujuan untuk saringan kesihatan dan tidak ada kena mengena dengan saringan penguatkuasaan.

“Banyak ramai orang salah faham bila kita kepungan awal dan masyarakat panik dan tular lebih awal.

“Kita mahu mereka datang ke tempat kita dan kita akan tetapkan dengan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang untuk buat saringan.

“Sebelum PKPD, kita telah buat saringan kepada 113 penduduk di kawasan ini.

”Setakat 5 November lalu, sejumlah 21 lelaki dan 19 wanita dikesan positif Covid-19,” kata Mohamad Zain yang juga Pegawai Daerah Sepang.

Sehingga Isnin lalu, 43 kes positif Covid-19.

Jelas Mohamad Zain lagi, pemasangan kawat berduri dan kepungan awal di kawasan ini adalah bagi mengelakkan penduduk di kawasan ini lari, sebagaimana yang berlaku di Plaza Hentian Kajang.

Namun ia berlaku lagi di sini.

“Kita masuk ke PKPD jam 8 malam Selasa. Ini merupakan strategi kita kerana kita telah belajar daripada beberapa PKPD yang berlangsung di Selangor.

“Apabila kita kepung kawasan itu dan kita buat pengumuman pada keesokannya kita hadapi banyak masalah antaranya tidak mencapai objektif  PKPD di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejumlah 700 sehingga 800 penduduk direkodkan tinggal di Medan 88.

Sejumlah 120 anggota polis ditugaskan untuk mengawak  Medan 88 ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD Medan 88 Salak Tinggi di Sepang bermula hari ini hingga 25 November depan. – MalaysiaGazette