Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Dato Henry Sum Agong (tengah) menerima kunjungan rakan kongsi platform eJazmine.com di pejabatnya di Putajaya baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Platform perniagaan atas talian, eJazmine.com menyasarkan jualan sehingga RM500,000 hingga RM750,000 dalam tempoh setahun diperkenalkan di pasaran.

Salah seorang rakan kongsinya, Datuk Seri Mohd. Rizal Mohd. Yusof berkata, sasaran itu berdasarkan kepada kecenderungan orang ramai berurus niaga di dalam talian yang semakin meningkat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang menggalakkan mereka bekerja dan duduk di rumah.

“Kewujudan platform atau  market place eJazmine.com dalam talian antarabangsa ini direka untuk memenuhi keperluan komuniti perniagaan daripada peringkat tempatan hingga ke seluruh pelosok dunia selagi capaian internet dapat diakses.

“Ini kelebihan gedung maya diperkenalkan untuk menggalakkan usahawan baru melibatkan diri disamping peniaga konvensional pula beralih ke perniagaan dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pengurusan tertinggi eJazmine.com telah bertemu Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong bagi  sesi perkenalan platform itu di kementeriannya baru-baru ini.

Rakan kongsi lain adalah Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin, Mohamed Hazli Mohamed Hussain dan Renutasan Rajan. 

Sementara itu, Mohd Rizal menambah, eJazmine.com turut menyediakan khidmat nasihat pembungkusan, pelabelan dan geran permohonan sijil halal kepada usahawan supaya produk mereka boleh pergi lebih jauh.

“Selain peniaga tempatan, platform ini membuka pintunya kepada usahawan luar dan seramai 15 peserta daripada negara berbeza telah mendaftar.

“Ini peluang terbaik untuk membina repo perniagaan sekaligus menambah jumlah yang mendaftar kepada 250 peserta dan jumlah tersebut semakin meningkat,” katanya.

Para usahawan boleh mendaftar secara percuma di www.ejazmine.com dengan kemudahan penghantaran pihak kurier datang ke rumah untuk mengambil produk bagi tujuan pengeposan. 

Dalam pada itu, Henry mengakui urus niaga atas talian kini terus berkembang sejajar dengan keadaan semasa khususnya ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  dikuatkuasakan hampir di seluruh negara.

Jelas beliau, secara langsung norma baharu itu meningkatkan penglibatan usahawan kecil dan sederhana ke arah ekonomi digital. 

“Dalam menghadapi Pandemik Covid-19 , ekonomi negara terus digerakkan melalui pelbagai kaedah termasuk pengendalian perniagaan dalam talian yang semakin menarik perhatian pengguna internet. 

“Situasi ini telah mendapat perhatian orang ramai sebelum  pandemik Covid-19 lagi. Ini adalah  salah satu cara hidup modenisasi rakyat  di seluruh dunia termasuk Malaysia. Apabila berlaku situasi  orang ramai tidak digalakkan keluar, kemunculan eJazmine.com  yang baru diperkenalkan ini selari dengan kehendak semasa,” katanya.

Justeru bagi memenuhi permintaan rakyat luar bandar yang mahukan liputan internet yang lebih baik untuk pelbagai urusan termasuk membeli-belah, pihaknya bersama-sama agensi berkaitan sedang berusaha ke arah itu.

“Akses internet kini sangat  diperlukan dan rakyat mahukan  capaian liputan yang meluas. Kita  akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)  dan agensi lain kerana bukan  keuntungan peniaga sahaja diutamakan tetapi  urusan dalam  talian ini  memudahkan  orang ramai dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Sementara itu, platform eJazmine.com dibangunkan oleh Euro Jasmine Technologies iaitu sebuah syarikat yang beroperasi di Kuala Lumpur yang memberi fokus dalam membina dan mengendalikan platform butik eCommerce.

eJazmine.com boleh dihubungi di talian , 03-91731522, 012-6932312 dan 017-3962373. – MalaysiaGazete