Abdul Razak Md Hassan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja – Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) membantah  pelantikan Mohd Rani Hisham Samsuddin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB yang baharu.

Presiden kesatuan itu Abdul Razak Hassan menegaskan, kesemua ahli berpendirian Datuk Kamarulzaman Zainal perlu dikekalkan memandangkan kontraknya selama dua tahun akan berakhir pada 21 Oktober 2021.

Tambahnya, prestasi Kamarulzaman jauh lebih baik berbanding Mohd Rani yang pernah menjadi Presiden KTMB sebelum ini.

“Pihak Kesatuan merayu mengekalkan YBhg. Datuk lr. Kamarulzaman Bin Zainal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, penamatan kontrak yang tidak berasas malah mempunyai
kontrak 11 bulan lagi berakhir pada 21 Oktober 2021, prestasi beliau adalah sangat memuaskan serta mempunyai hubungan yang baik dengan kesatuan,” katanya menerusi kenyataan.

Malah kesatuan tersebut turut memberi amaran tidak akan bekerjasama dengan Mohd Rani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB yang baharu.

“Jangan salahkan Kesatuan Pekerja – Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad andai Mohd Rani Hisham Samsuddin yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, maka akan mewujudkannya pertikaian berpanjangan.

”Malah kami tidak akan memberi kerjasama dengan beliau, kerana kami cukup kenal dengan sikap beliau yang cukup sombong dan ego.

“Berdasarkan trek rekod ketika beliau menyandang jawatan Presiden KTMB, tidak menunjukkan sebarang pembaharuan kepada KTMB, malah kami anggap prestasinya adalah tidak memuaskan,” katanya.

Terdahulu Abdul Razak memaklumkan Majlis Eksekutif KPPKTMB mengadakan mesyuarat pada 9 November yang lalu bagi mengambil ketetapan terhadap perkara ini.

Menyifatkan Kementerian Kewangan melakukan kesilapan dengan melantik Mohd Rani, KPPKTMB merayu agar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dalam hal ini.

“Pihak Kesatuan merayu kepada YAB Tan Sri Datuk Muhyiddin Yassin campur tangan dan memperbetulkan keadaan, kekhilafan ini boleh menyebabkan KTMB tidak akan mengalami kemajuan, sebaliknya akan mewujudkan pertikaian antara Mohd Rani  dengan KPPKTMB sepanjang tempoh perkhidmatannya,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Razak berkata kesatuan itu telah surat bantahan pelantikan Ketua Eksekutif KTMB kepada Kementerian Kewangan pada 6 November yang lalu sehingga kini belum ada maklum balas.

“Kesatuan hantar surat kepada MOF nyatakan ketidakpuasan hati terhadap lantikan tapi setakat ini tidak ada respon lagi,” katanya lagi.

Untuk rekod  Kamarulzaman diberikan mandat untuk meneruskan usaha pemulihan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 21 Oktober 2019.- MalaysiaGazette