Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil keputusan selamat apabila ‘menyimpan’ dahulu sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 yang dibentang pada Jumaat lalu.

Pengasas parti itu yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad  berharap cadangan yang dikemukakannya akan mendapat perhatian daripada kerajaan.

“Saya ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan.

“Saya reserve diri saya dan parti saya untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 Kerajaan Perikatan Nasional ini. Saya harap cadangan yang bernas oleh dewan ini diberi tempat dalam Belanjawan 2021,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dua kali mengakui semua Ahli Parlimen ingin meluluskan belanjawan tersebut kerana sekiranya tidak lulus, pada lazimnya Perdana Menteri perlu letak jawatan.

Jelas beliau, kesannya akan jadi pula satu krisis politik, di mana kerajaan pintu belakang akan diganti dengan kerajaan tebuk atap yang juga tidak stabil.

“Kita telah ada pilihan raya yang menentukan Kerajaan pilihan rakyat didirikan. Setelah dipilih kerajaan ini dijatuhkan dan kerajaan oleh puak yang ditolak oleh rakyat mendiri Kerajaan.

“Ini sebenarnya adalah satu penipuan walaupun tidak ada undang-undang yang melarang perbuatan ini. Ia menidakkan demokrasi. Malangnya Kerajaan pintu belakang ini amat lemah dan menghabiskan masa untuk pertahan kedudukannya,” katanya.

Selasa lalu, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah  membuat pendirian bahawa sokongan mereka ke atas Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.

Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Backbenchers (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, syarat itu adalah kerajaan perlu meluluskan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off.

Syarat seterusnya pula jelas bekas Perdana Menteri itu, moratorium dilanjutkan hingga Jun 2021. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.