Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing apabila beliau mengatakan ‘Ketua Pengarah Kesihatan takut mati’ ketika sesi perbahasan di Parlimen semalam.

Kenyataan tersebut sangat keterlaluan dan seolah-olah merendahkan pengorbanan penjawat awam yang selama ini bertungkus-lumus dalam usaha menyekat penularan virus Covid-19, apatah lagi perbuatan merendah-rendahkan penjawat awam itu dilakukan di dalam Dewan Rakyat.

Presiden CUEPAC, Adnan Mat berkata, kenyataan King Sing adalah tidak wajar kerana tidak menyelidiki terlebih dahulu maklumat sebenar sebelum mengeluarkan komen yang agak keras kepada penjawat awam.

Sebagai wakil rakyat, beliau sewajarnya menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan pendapat peribadi ataupun aduan yang diterima beliau dan bukannya membuat serangan secara terbuka di dalam Dewan Rakyat.

”CUEPACS percaya YB Bintulu mempunyai akses untuk bertemu dengan Menteri Kesihatan atau Ketua Pengarah Perkhidmatan jika mahu memaklumkan pendapat beliau mengenai penambahbaikan dalam pengurusan Covid-19.

”Walaupun niat YB Bintulu adalah untuk menyuarakan masalah petugas barisan hadapan dan rakyat yang mungkin terlepas pandang oleh pihak kerajaan, CUEPACS berharap ia dibuat mengikut saluran yang betul kerana tidak adil untuk Ketua Pengarah Kesihatan diserang melalui platform yang beliau tidak boleh memberi penjelasan,” tegasnya dalam kenyataan di sini.

Justeru, King Sing wajar membuat permohonan maaf sebagai menghormati peranan semua petugas barisan hadapan dan Ketua Pengarah Kesihatan dalam memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sepanjang usaha menyekat penularan Covid-19.

Adnan berharap kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi terutama melibatkan pemimpin politik kerana ia dibimbangi menjadi ikutan masyarakat.

Perkara ini harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan kebebasan bersuara untuk membuat kritikan yang tidak wajar.

”Harus diingatkan bahawa kakitangan kerajaan adalah tertakluk kepada peraturan-peraturan am perkhidmatan awam dan pelaksanaan sesuatu dasar atau arahan dilakukan dengan sangat teliti. Kementerian Kesihatan (KKM) merupakan agensi utama dan paling penting dalam mengurus isu-isu berkaitan Covid-19 manakala agensi-agensi lain berperanan sebagai pelengkap yang akan melaksanakan polisi-polisi kesihatan dan keselamatan di setiap negeri.

”Ketua Pengarah Kesihatan merupakan jawatan profesional perubatan dan bertindak atas data-data profesional tanpa memasukkan unsur-unsur politik. Di peringkat negeri pula, pengarah-pengarah kesihatan sentiasa berhubung dengan Ketua Pengarah bagi menyalurkan maklumat terkini atau arahan-arahan terbaru.

”Oleh itu, walaupun Ketua Pengarah Kesihatan tidak selalu turun di lapangan, beliau tetap bertanggungjawab memastikan perancangan dan keputusan yang dibuat di Putrajaya sampai ke peringkat negeri dan hospital-hospital dengan pantas,” tambahnya.

Lagipun, ujar beliau, tiada keperluan untuk Ketua Pengarah Kesihatan untuk selalu turun padang memandangkan saluran komunikasi beliau dengan petugas di lapangan sentiasa berjalan dengan baik mengikut prosedur yang jelas.

Untuk makluman, Ketua Pengarah Kesihatan dan KKM telah menerima anugerah dan pengiktirafan daripada WHO dan pertubuhan antarabangsa kerana pengurusan Covid-19 yang teratur dan berkesan.

Sebagai kakitangan awam, setiap petugas telah diberi latihan yang mencukupi untuk berhadapan apa jua keadaan serta memiliki tahap profesionalisma yang tinggi.

Kakitangan awam juga sentiasa mematuhi arahan kerajaan walau parti mana memerintah kerana keutamaan mereka adalah melaksanakan tugas sebaik mungkin demi kebaikan rakyat dan negara.

”CUEPACS menyeru agar mana-mana pihak tidak lagi menghina dan memperkecilkan peranan penjawat awam terutama ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19,” tegasnya sambil mengajak semua pihak untuk turut sama membantu petugas barisan hadapan sekadar yang termampu, setidak-tidaknya duduk di rumah jika tiada keperluan atau urusan penting. – MalaysiaGazette