Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak boleh mendedahkan keputusan saringan Covid-19 di laman web bagi melindungi kerahsiaan pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai yang telah membuat saringan Covid-19 di mana-mana pusat atau klinik kesihatan perlu menunggu sehingga dihubungi oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapat tahu status saringan berkenaan.

“Ujian makmal biasanya mengambil masa selama 48 jam hingga 72 jam.

“Jadi, orang ramai diharap dapat bersabar kerana PKD akan menghubungi individ-individu yang telah membuat saringan.

“Kita tidak boleh memaparkan status saringan tersebut di laman web atas isu kerahsiaan mengikut Akta Perubatan 1971.

“Kami tidak boleh mempamerkan nama individu-individu yang telah membuat saringan sama ada mereka positif atau negatif di laman web.

“PKD akan menghubungi mereka apabila keputusan siap,” katanya semasa sidang media hari ini.

Baru-baru ini terdapat cadangan daripada beberapa pihak supaya keputusan saringan Covid-19 dipamerkan di laman web supaya lebih cepat diketahui berbanding menunggu panggilan daripada PKD. – MalaysiaGazette