Warga Korea Selatan membeli pelitup muka selepas alat perlindungan itu diwajibkan mulai 13 November 2020. foto CNN

SEOUL – Penduduk Korea Selatan yang tidak memakai pelitup muka dikenakan denda sehingga 100,000 won (kira-kira RM370).

Ia merupakan peraturan baharu kuarantin yang dikuatkuasakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Denda akan dikenakan bagi mereka yang tidak memakai topeng di tempat yang sesak, seperti restoran, kafe, kedai, bar, kemudahan sukan, kemudahan agama dan institusi perubatan serta menaiki bas dan kereta bawah tanah.

Denda juga akan dikenakan kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka dengan betul, termasuk memakainya di bawah hidung.

Pemilik perniagaan akan didenda dengan hukuman lebih berat apabila mereka atau pelanggan melanggar peraturan itu.

Mereka akan didenda hingga 1.5 juta won (RM5,560) untuk pelanggaran kali pertama dan sehingga 3.0 juta (RM11,120) untuk kesalahan kedua.

Pengecualian akan dibenarkan untuk kanak-kanak di bawah usia 14 tahun dan orang dewasa yang tidak dapat memakai topeng kerana alasan kesihatan.

Orang ramai tidak perlu memakai topeng ketika makan dan minum, di dalam kolam renang dan tempat mandi umum, muncul di program TV dan ketika menjalani pemeriksaan identiti.

Sekiranya individu dapat melakukan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter daripada yang lain ketika berjalan-jalan di taman, berbasikal dan mendaki gunung, mereka tidak perlu memakai pelitup muka. – MalaysiaGazette