Wujudkan platform padanan pekerja dan majikan/pemilik perniagaan untuk membolehkan kita sesama wanita saling tolong-menolong.- Gambar hiasan.

HULU LANGAT – ‘Saya tak boleh angkat barang sebab sudah berusia, andai kata anak-anak tak ada, saya biar sahaja barang-barang dalam rumah. Mana nak selamatkan diri sebab banjir lagi.

Itu kata-kata Esah Mohd Din, 63 yang menceritakan keadaan beliau semasa banjir besar yang menimpa rumahnya pada minggu lalu.

Menurut Esah, disebabkan faktor usia yang semakin lanjut, dia tidak boleh berbuat apa-apa semasa banjir melanda sekitar Hulu Langat.

“Sebelum subuh lagi air sudah naik mendadak dalam rumah. Air terus masuk dan kami tidak sempat nak buat apa-apa.

“Mujur ada anak-anak menolong angkat barang-barang, kalau saya nak buat, memang tak larat,” katanya lagi.

Rintih anak kelahiran Hulu Langat itu lagi, ini adalah banjir ketiga paling teruk yang dihadapi beliau.

“Di Dusun Tua ini memang sudah cetek di kawasan ini, jadi bila air daripada bukti yang menurunkan lumpur, andai ada pihak yang cuci saluran perparitan itu jadi banjir tak akan teruk macam sekarang.

“Letih dengan setiap tahun banjir, lagi sebab kita sudah berusia. Jadi bila ada anak nampak saya letih, anak-anak suruh saya berehat sahaja,” katanya lagi.

Temubual bersama mangsa banjir, Khaserilah Khalid di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2020.

Menurut Khaserilah Khalid, 34 dari Taman Sri Nanding, keadaan paling teruk adalah untuk membersihkan rumah yang dilanda banjir.

Dengan keadaannya yang mengandung lima bulan, ia agak menyukarkan beliau untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Kami sempat angkat barang tapi macam almari dan meja tak sempat nak selamatkan. Habis satu rumah dengan lumpur, dalam almari atas tilam banyak lumpur.

“Sekejap saja air naik. Penat betul nak cuci lumpur yang ada dalam rumah, dengan saya mengandung lima bulan lagi. Hanya sempat selamatkan kain baju dan buku-buku sekolah anak-anak. Barang-barang elektrik tak sempat nak selamatkan,” katanya selepas menerima bantuan daripada Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, hari ini.

Temubual bersama mangsa banjir, Meria Ismail di Balai Raya Pekan Batu 18, Hulu Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 15 NOVEMBER 2020.

Bagi Meria Ismail, 60 pula, beliau terpaksa mendukung ibu mertuanya yang uzur ekoran banjir besar yang melanda kediamannya, baru-baru ini.

Dengan kudrat yang ada, Meria berkata, beliau terpaksa bertindak pantas kerana paras air yang naik secara mendadak.

“Air mula naik jam 6.30 pagi dan kali ini naik cukup deras.

Air naik paras pinggang dan saya ada mak mentua yang tua dan tidak boleh naik tangga, mujur ada rumah atas jadi kita terpaksa dukung mak saya naik atas,” cerita beliau kepada MalaysiaGazette.

Ibu kepada tiga anak ini juga berkata, jumlah kerugian yang dialami beliau adalah hampir RM6,000.

“Barang elektrik yang banyak rosak macam mesin basuh, peti sejuk. Lebih kurang RM5,000 hingga RM6,000.

“Barang dalam bilik ibu mertua saya rosak semua,” katanya lagi.

Kejadian banjir pada 4 November lalu mengakibatkan kira-kira 1,000 kediaman di 10 kampung serta taman perumahan di kawasan itu dinaiki air.

Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Batu 20 Sungai Lui; Kampung Batu 14; Kampung Batu 16; Kampung Kuala Perdik; Kampung Batu 18; Kampung Batu 17; Kampung Sungai Serai; Kampung Dusun Nanding; Kampung Baru 13; Kampung Lubuk Kelubi dan Taman Sri Nanding. – MalaysiaGazette