Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 463 individu ditahan selepas didapati ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.

Daripada jumlah itu 427 individu dikenakan kompaun manakala 36 lagi individu ditahan reman, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal mematuhi penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan rentas daerah.

“Kesalahan gagal mematuhi penjarakan sosial adalah 173 kes, tidak memakai pelitup muka (67), kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran (31) dan 50 kes-kes berkaitan SOP.

“Walaupun sudah berulang-ulang kali diingatkan masih berlaku lagi kes tidak mematuhi SOP ini dan pihak polis akan terus memantau,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, seramai 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong berjaya ditahan dalam Op benteng yang diadakan di seluruh negara.

Katanya, sebanyak 248 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilakukan di seluruh negara.

“Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National
Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan PATI dan jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Lumpur berikutan kenaikan kes positif Covid-19 harian yang terus mencatatkan peningkatan.

Jelas beliau, perkara itu akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan menilai sama ada wujud keperluan bagi menguatkuasakan PKPD di sesebuah kawasan.

“Sebagaimana keadaan di Selangor yang sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi apabila berlaku peningkatan kes di kawasan tertentu, misalnya baru-baru ini di Sepang, kita memutuskan pelaksanaan PKPD,” katanya. – MalaysiaGazette