Dr Catalin Denciu dibawa ke Belgium selepas melecur tahap dua dan tiga susulan kebakaran di sebuah hospital di Piatra Neamt. foto Agensi

BUCHAREST – Seorang doktor Romania yang melecur teruk selepas merempuh api untuk menyelamatkan pesakit-pesakit Covid-19 ketika hospital terbakar telah dibawa ke Belgium bagi menerima rawatan.

Dr Catalin Denciu digelar “hero” oleh Perdana Menteri, Ludovic Orban memuji “keberanian dan semangat pengorbanannya” untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Dalam tragedi kebakaran yang berlaku pada Sabtu lalu, seramai 10 pesakit mati dalam kebakaran di hospital di Piatra Neamt pada hari Sabtu.

Tujuh pesakit lelaki dan tiga wanita, berusia antara 67 dan 86 tahun, mati dalam kebakaran itu.

Enam pesakit Covid-19 yang lain yang cedera dalam kebakaran tersebut dipindahkan ke hospital lain di bandar Iasi.

Punca kebakaran di wad unit rawatan rapi itu masih disiasat.

Api juga merebak ke bilik sebelah.

Beberapa laporan menunjukkan alat perubatan terbakar, menyebabkan silinder oksigen yang terletak berdekatan terbakar.

Susulan kejadian itu, unit rawatan rapi hospital berkenaan dipindahkan dari tingkat tiga ke tingkat dua.

Dr Denciu dipindahkan ke hospital tentera Queen Astrid dari Belgium, setelah dibawa ke ibu kota Bucharest.

Beliau melecur tahap dua hingga ketiga hingga 40% badannya, kata pegawai perubatan.

Presiden Romania Klaus Iohannis menyifatkan ia sebagai “tragedi besar” dan mahu punca kejadian diketahui segera untuk mengelakkan situasi serupa di masa depan”.

Romania telah melaporkan lebih dari 360,000 kes coronavirus sejak awal wabak ini dan hampir 9,000 kes kematian.

Hampir 13,000 pesakit Covid-19 berada di hospital di seluruh Romania pada hari Ahad, termasuk 1,169 di unit rawatan intensif, lapor agensi berita Reuters. – MalaysiaGazette