Temubual Eksklusif bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Gasing, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – “Saya ada peranan untuk pertahankan dia (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Semua orang tahu pada 1987 kalau saya tidak sungguh-sungguh dukung dia, mungkin terguling juga dia masa itu.

“Dia akan kalah dengan Tengku Razaleigh tapi itu masing-masing tanggungjawab dan menyatakan keyakinan kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada pemilihan UMNO 33 tahun lalu yang menyaksikan saingan sengit antara Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden.

Ketua Pembangkang itu juga menyanggah pandangan Dr Mahathir bahawa beliau (Anwar) tidak mempunyai apa-apa semasa diangkat ke dalam kerajaan.

Katanya, ketika itu beliau sudah menjadi ahli jawatankuasa pertubuhan belia dunia dan juga mempunyai kedudukan dalam Angkatan Belia Islam di dalam dan luar negara selain ada peranan dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Jadi ada peranan saya di peringkat dunia sudah dikenali, dan diambil saya ucap terima kasih dan memang benar dia bagi ruang. Tapi kalau kata tidak ada apa-apa dari debu dia angkat, kalau begitu tak apalah.

“Itu kenyataan politik,” katanya.

Dr Mahathir kelmarin berkata, Anwar tidak berupaya menguruskan negara malah kepimpinannya pernah diuji ketika Presiden PKR itu memangku jawatan perdana menteri pada 1997 di mana Anwar hampir menjerumuskan negara dalam kancah hutang termasuk dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sebagai manusia biasa beliau mengakui pernah berasa sakit hati, tersinggung dan tercuit melalui pelbagai pengalaman termasuk dipenjarakan semasa pemerintahan Dr Mahathir.

Namun demi kepentingan negara, beliau menerima ‘kedatangan’ Dr Mahathir pada dua tahun lepas dan melupakan apa yang telah terjadi.

“Tapi kalau asyik ulang-ulang konspirasi dan khianat itu tidak boleh. Saya sekarang, tak apa biar dan teruskan ikut jalan saya,” katanya dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaGazette.

Mengenai jawatan Perdana Menteri, pemimpin berusia 73 tahun itu berkata, bukan beliau yang beriya-iya mahu jawatan tersebut sebaliknya ia adalah sesuatu yang telah dipersetujui oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan termasuk Dr Mahathir sendiri.

“Ini bukan soal Anwar nak jadi PM, tidak. Saya dicalonkan oleh parti-parti dalam PH yang majoriti 92 sekarang,” katanya.

Biarpun sering kali diajukan persoalan mengapa beliau beriya-iya untuk menjadi Perdana Menteri, Anwar tetap merujuk perkara itu sebagai perkembangan yang telah diputuskan terlebih awal lagi.

Jelas Anwar, perkara itu telah diputuskan sebelum PH memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), dua tahun lalu.

“PRU 2018 itu diketengahkan saya calon PM, transisi PM sementara (Tun Dr) Mahathir kepada Anwar Ibrahim dan kita menang PRU14.

“Jadi itu yang harus diketahui bukan perkara itu berkembang dua minggu lalu atau bulan lalu seperti yang didakwa,” katanya.

Presiden PKR itu turut diajukan soalan mengenai keyakinan beliau untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bulan lalu.

Anwar beralasan beliau melahirkan keyakinan untuk berdepan dengan Al-Sultan disebabkan sokongan yang ditunjukkan oleh Ahli-Ahli Parlimen daripada parti-parti tertentu.

“Saya menghadap YDPA setelah yakin dengan jumlah kerusi dan dokongan Ahli Parlimen dari parti-parti yang telibat.

“Itu kenyataannya dan proses ini berjalan dan tidak mungkin dan munasabah untuk saya gunakan ruang sehingga menghadap YDPA dalam keadaan saya tidak yakin dengan jumlah itu.

“Tapi dengan ehsan dan kebijaksaan YDPA menangguhkan untuk memastikan beberapa pertimbangan jadi saya hormat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau masih berkeyakinan dengan apa yang dipersembahkan beliau kepada Agong, Anwar berkata hanya masa yang boleh menentukannya.

“Insya-Allah akan dapat diluruskan dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Anwar pada 13 Oktober lalu menghadap dan mengesahkan beliau ada mempersembahkan dokumen sahih berhubung sokongan kukuh dan meyakinkan Ahli Parlimen terhadapnya.

Beliau turut mendakwa mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membolehkan beliau menubuhkan semula kerajaan PH. – MalaysiaGazette