FGV

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd (FGV) masih belum menerima sebarang notis secara rasmi daripada Felda berhubung pembatalan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA).

Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, beliau telah menulis surat kepada Felda tetapi setakat ini tiada perkembangan lanjut.

Bagaimanapun, menurutnya, jika ada perkembangan berhubung perkara itu, kenyataan bersama akan dikeluarkan oleh kedua-dua pihak.

”Oleh itu, setakat ini situasi masih status quo,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga kumpulan itu hari ini.

Ketika menjawab soalan, Haris berkata, LLA hanya membabitkan ladang yang dipajak 99 tahun kepada FGV, sementara kumpulan itu memiliki kilang minyak sawit.

Bagaimanapun, jelasnya, setiap perbincangan atau hasrat pengambilalihan ke atas kilang minyak harus dilakukan secara komersial dan berdasarkan kesanggupan membeli dan menjual kerana kilang-kilang berkenaan tidak terlibat dalam LLA.

Namun, tambahnya, setakat ini belum ada perbincangan antara FGV dan Felda mengenai rancangan untuk mendapatkan kilang tersebut.

FGV mempunyai 68 buah kilang di Malaysia dan merupakan perniagaan utamanya.

Haris berkata, tanah LLA hanya mewakili sekitar 30% TBS (tandan buah segar) yang diproses di kilang FGV manakala baki 70% lagi TBS diambil daripada peneroka dan pembekal pihak ketiga.

Katanya, tanpa tanah LLA, FGV masih memerlukan kilang-kilang berkenaan untuk memproses 70% TBS.

“Sebenarnya ia adalah bahagian kritikal keupayaan FGV dalam memproses TBS memandangkan kami berada dalam pasaran hiliran” ujarnya.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan harga kilang-kilang milik FGV.

Tetapi kata Haris, kos harga kilang baharu sekarang
dianggarkan kira-kira RM1 juta untuk kapasiti setiap tan metrik.

Mengulas mengenai hasrat Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) – syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar untuk menyuntik aset-aset dalam FGV, Haris mengesahkan sudah menerima surat daripada pihak berkenaan.

Katanya, FGV akan sedang mengenal pasti aset-aset yang terlibat tetapi tidak termasuk Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

CSR adalah milik PLSB – adalah pesaing kepada MSM Malaysia Holdings Bhd – syarikat gula yang dimiliki oleh FGV. – MalaysiaGazette