Javier Mascherano.

LONODN – Pemain tengah Estudiantes, Javier Mascherano mengucapkan selamat tinggal buat kancah bola sepak profesional selepas beliau mengumumkan persaraannya pada usia 36 tahun.

Keputusan yang diambil pemain kelahiran San Lorenzo, Argentina itu  menamatkan tempoh 17 tahun kariernya yang penuh dengan warna-warni.
Mascherano memulakan karier profesional pada tahun 2003 bersama kelab gergasi Argentina, River Plate sebelum memilih untuk berkelana ke Brazil bagi menyarung jersi Corinthians selama semusim.

Keputusan untuk menyertai West Ham United pada musim 2006/07 dilihat menjadi batu loncatannya buatnya dalam mengembangkan karier di Eropah apabila dia berjaya menarik minat Liverpool.

Bersama Liverpool, dia menjadi sandaran utama buat pengendali pada ketika itu, Rafa Benitez di jentera tengah dan susulan sumbangan baiknya setiap kali beraksi menyaksikan Barcelona pula mahu mendapatkan khidmatnya.

Pelbagai kejayaan telah diraih olehnya ketika menyarung jersi skuad The Blaugrana tersebut, antaranya ialah dua trofi Liga Juara-Juara Eropah, dua kejuaraan Piala Dunia Kelab FIFA dan lima kali bergelar juara La Liga.

Selepas hampir lapan musin di Sepanyol, Mascherano melebarkan kariernya ke China untuk bersama Hebei China Fortune sebelum kembali ke negara kelahirannya pada musim lalu dengan menyertai Estudiantes.

Namun, tidak banyak yang dapat dikecapinya ketika bersama skuad kebangsaan Argentina apabila naib juara edisi 2014 di Brazil menjadi kenangan terbaik buatnya dalam saingan senior. – MalaysiaGazette