Seekor kucing melintasi dawai kawat ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di sekitar kawasan perumahan Plaza Hentian Kajang berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kajang, Selangor. Foto AFIQ HAMBALI, 30 OKTOBER 2020.

KAJANG – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Plaza Hentian Kajang di sini sejak 28 Oktober lalu menyebabkan haiwan seperti kucing dan anjing terbiar sukar meneruskan kelangsungan hidup ekoran perubahan yang berlaku.

Hampir tiga minggu berlalu, tiada lagi makanan ihsan yang haiwan itu dapat daripada pemberian para pelanggan restoran dan kedai makan seperti biasa.

Malah saki baki makanan yang biasanya ‘bersepah’ di longkang dan tong sampah juga tidak ada.

Ini kerana dengan pelaksanaan PKPD di Plaza Hentian Kajang itu menyebabkan kesemua penduduk di sini tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Hanya aktiviti perniagaan seperti kedai runcit, kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dan penduduk dibenarkan untuk membeli makanan dan keperluan asas serta mendapatkan rawatan kesihatan.

Justeru kita mungkin terlepas pandang dengan nasib kucing dan anjing liar itu yang kelaparan.

Lebih memilukan, sebanyak lima ekor kucing telah ditemui mati sejak PKPD di kawasan itu.

Salah seorang penghuni, Mohd. Fadhil Abdollah berkata, tiada operasi kedai makan dan restoran sepanjang tempoh PKPD menyebabkan haiwan terbiar itu kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Jelasnya, ia mungkin kerana mereka kelaparan tidak dapat menjamah makanan seperti biasa, hendak-hendak pula dalam cuaca hujan pada sebelah petang ketika ini yang menyebabkan haiwan itu cepat lapar.

“Saya anggarkan ada lebih 10 ekor kucing terbiar di kawasan ini dan yang saya jumpa mati dalam lima ekor dan yang lain kelihatan sakit dan makin kurus.

“Jumlah anjing pula dalam tujuh ekor dan mereka tidak dapat keluar dari sini sebab kawat berduri. Jadi hendak mencari makanan di tempat lain tidak boleh lain apatah lagi restoran-restoran tidak beroperasi,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Namun Mohd. Fadhil meluahkan rasa syukur kerana kisah haiwan yang kelaparan itu mendapat perhatian netizen selepas dikongsikan di media sosial miliknya.

Katanya, ada yang menderma sehingga RM1,000 untuk menyuruhnya membeli makanan kucing dan anjing di kedai serbaneka di kawasan itu yang masih dibenarkan beroperasi.

“Ada juga yang datang menghantar makanan itu kepada saya di sempadan antara kawat berduri selepas kisah kematian haiwan itu dikongsikan di media sosial saya.

“Saya berterima kasih dengan kawan-kawan yang sudi membantu haiwan ini daripada mereka mati kelaparan lagi,” katanya hiba.

Sementara itu, sejak 28 Oktober lalu, sejumlah 7,500 penduduk di sekitar Plaza Hentian Kajang tidak dibenarkan keluar daripada kawasan tersebut selepas PKPD.

Sejumlah tiga kilometer persegi kawasan itu dipasang dengan kawat berduri bagi mengelak penduduk cuba keluar daripada sekatan.

PKPD dilaksanakan ekoran terdapat 63 kes positif Covid-19 dilaporkan di kesan di kawasan tersebut sehingga menjadi Kluster Hentian sebelum itu.

Bagi bukan penduduk dan pelawat pula, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.

Semasa pelaksanaan PKPD, makanan asas yang mencukupi untuk tempoh itu dibekalkan kepada semua penduduk oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. – MalaysiaGazette