Penduduk, Azman Yunus melakukan kerja-kerja pembersihan selepas rumah dinaiki air akibat hujan lebat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lorong Kiri 11, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 NOVEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa menyelesaikan masalah banjir yang semakin teruk di Kampung Datuk Keramat, di sini.

Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara yang perlu diberi tumpuan adalah sistem perparitan kawasan berkenaan.

Tambah bekas Ahli Parlimen Titiwangsa itu, penduduk di kawasan tersebut terpaksa berhadapan dengan situasi sama setiap kali hujan lebat dan ini menyusahkan mereka.

“Setiap kali hujan lebat penduduk Datuk Keramat merana akibat banjir. Saya harap @DBKL2u cari punca masalah perparitan di kawasan ini. Wakil rakyat Titiwangsa tidak langsung kelihatan. Kita perlukan penyelesaian menyeluruh untuk masalah ini.

“Boleh tak DBKL lakukan sesuatu. Kalau tidak setiap kali hujan rakyat merana. Sangat menyedihkan rakyat terpaksa berdepan dengan masalah ini setiap kali hujan lebat. Dulu masalah ini tak ketara tetapi sekarang masalah banjir ini menjadi kronik,” kata bekas menteri itu menerusi akaun Twitter.

Hujan lebat lebih tiga jam petang semalam mengakibatkan banjir kilat di ibu kota yang menyebabkan kesesakan jalan raya dan kenderaan rosak akibat dimasuki air.

Antara kawasan terlibat ialah Jalan Ampang, Jalan Munsyi Abdullah, Jalan Setiawangsa, Jalan Kuching, Jalan Tuanku Abdul Halim dan Jalan Maharajalela.

Jalan Parlimen dan kawasan berhampiran Bank Negara Malaysia turut dinaiki air. – MalaysiaGazette