Tan Sri Lee Kim Yew. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Pengasas Country Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew mendedahkan bahawa sebanyak 163 pekerja asing  yang menghuni di sebuah hotel bajet berhampiran pusat beli-belah The Mines di Serdang, Selangor telah didapati terjangkit COVID-19.

Kim Yew berkata, beliau menerima maklumat pada Sabtu bahawa sebanyak 200 orang pekerja asing dari sebuah kilang di Klang yang merupakan zon merah telah dihantar ke hotel bajet itu untuk pengasingan.

Katanya, walaupun sebanyak 163 orang kemudian didapati positif COVID-19, tetapi hotel itu masih beroperasi seperti biasa pada petang Selasa (17 November) dan tidak ditutup.

Katanya kepada China Press, sebuah kedai serbaneka di tingkat bawah hotel tersebut juga beroperasi seperti biasa.

Kim Yew justeru bimbang pekerja asing yang menghuni di hotel itu dan orang ramai mungkin mengunjungi kedai serbaneka tersebut.

“Disebabkan terdapat tempat komersial dan kediaman di kawasan berhampiran, penduduk dan peniaga juga berasa bimbang terutamanya apabila ramai pekerja telah dijangkit,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, difahamkan bahawa seramai 200 orang pekerja dari sebuah kilang di Klang telah dihantar ke hotel bajet itu pada Jumaat.

“Kami diberitahu  bahawa 31 pekerja telah disahkan dijangkiti pada Sabtu.

“Sehingga Selasa pula, seramai 132 orang lagi telah disahkan terkena jangkitan dan kesemua pesakit telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Beliau justeru meminta kerajaan dan Kementerian Kesihatan mengambil berat tentang jangkitan membabitkan pekerja asing dan segera menghentikan rantaian jangkitan. – MalaysiaGazette