Sebagai contoh, rakyat Zimbabwe perlu membawa berkantung-kantung beg plastik untuk membawa wang bagi membeli barangan harian.- Gambar hiasan.

DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengajak semua pihak mengambil pengajaran daripada negara Zimbabwe, sebuah negara yang mengalami situasi hyperinflation atau inflasi luar kawalan yang menyebabkan nilai matawang susut dengan mendadak.

Ekoran kesan Covid-19 melanda dunia, kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia terpaksa meningkatkan perbelanjaan dengan meminjam atau mengeluarkan hutang awam.

Persoalannnya, bolehkah kerajaan mencetak wang untuk diagihkan bagaikan wang dari helikopter agar setiap orang mempunyai wang untuk berdepan ekonomi sedang merudum?

Meskipun kerajaan boleh mencetak wang namun tidak bermakna ia boleh berbuat demikian dengan sewenang-wenangnya.

Mencetak wang akan menambah tekanan penyusutan terhadap nilai ringgit kerana pasaran mata wang asing menjangkakan kerajaan akan mencetak lebih banyak lagi wang pada masa depan.

Secara amnya, nilai ringgit disokong oleh beberapa faktor iaitu secara amnya nilai mata wang negara kita ini, disokong oleh empat faktor berikut iaitu simpanan emas, simpanan mata wang asing, pengeluaran negara meliputi sumber asli atau hasil bumi, dan akhir sekali keyakinan pelabur terhadap kerajaan dan penetapan nilai mata wang negara.

Mencetak wang dengan sewenang-wenangnya akan menyebabkan permintaan melebihi pembekalan, menyebabkan nilai barangan naik mendadak, seterusnya hyperinflation berlaku. Ini adalah teori asas ekonomi.

Sebagai contoh, rakyat Zimbabwe perlu membawa berkantung-kantung beg plastik untuk membawa wang bagi membeli barangan harian. Bayangkan, penjual meletakkan harga lima biji telur dengan nilaian 100 bilion dolar Zimbabwean pada sekitar tahun 2015.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) tidak mahu situasi sebegini berlaku di negara kita yang tercinta ini. Kita tidak mahu duit ringgit umpama kertas yang tidak bernilai.

Lima perkara yang boleh berlaku kepada negara sekiranya bank mencetak wang secara berleluasa dan diberikan kepada rakyat:

I. Nilai mata wang Ringgit akan jatuh merudum. Lihatlah dolar Zimbabwe dan Duit Penjajahan Jepun (Japanese Invasion Money) atau Duit Pisang.

II. Kerajaan terpaksa mengapungkan mata wang baharu, bermakna Ringgit tidak lagi digunakan. Tiada lagi legasi negara sendiri.

III. Negara terdedah kepada penjajahan ekonomi apabila gagal membayar hutang akibat nilai ringgit sangat murah. Akibatnya, syarikat-syarikat asing ada hak untuk mengambil alih kawasan-kawasan perindustrian dalam negara

IV. Peningkatan kadar pengangguran dan kemiskinan. Yang kaya terus kaya, yang miskin menjadi papa kedana. Jurang kemiskinan melebar dengan dahsyat.

V. Banyak bank akan muflis dan simpanan rakyat lenyap.

Bank negara amat berhati-hati dan berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan. Oleh itu, seharusnya kenyataan ekonomi dikeluarkan oleh mereka yang layak di dalam kerajaan agar kerajaan Perikatan Nasional terus mendapat kepercayaan rakyat, terutama ketika mengemudi negara pada waktu krisis luar biasa.

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, cara terbaik untuk menolong rakyat, tanpa menjejaskan ekonomi negara adalah dengan pengeluaran wang simpanan rakyat melalui KWSP dan moratorium secara automatik agar ekonomi dirangsang dengan terkawal. – MalaysiaGazette

Shahir Adnan.

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap Timbalan Pengerusi IKATAN Kelantan