Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri diminta mengarahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal untuk menarik balik cadangannya supaya Bank Negara Malaysia mencetak wang bagi membantu ekonomi.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, cadangan untuk mencetak wang itu menggambarkan kenaifan Wan Fayshal dalam ekonomi asas kerana langkah tersebut boleh menyebabkan hiperinflasi, kehilangan keyakinan terhadap sistem ekonomi dan seterusnya menyebabkan keruntuhan ekonomi Malaysia.

Tegasnya, bekalan wang boleh ditambah bukan melalui mencetak wang sahaja tetapi menerusi pakej rangsangan kuantitatif (QE) iaitu pembelian bon atau aset.

Namun begitu menurut Steven, langkah QE tidak begitu berkesan ketika ini kerana kadar faedah yang sangat rendah.

“Ketika ini, masalah yang dihadapi Malaysia bukanlah dari segi pendanaan tetapi sikap kerajaan yang menggunakan pendekatan perbelanjaan konservatif.

“Keputusan Ahli Dewan Rakyat yang sebulat suara menyokong Rang Undang-Undang Covid-19 untuk menaikkan siling hutang menunjukkan kami setuju supaya kerajaan membuat lebih banyak pinjaman bagi membiayai defisit yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut wakil rakyat DAP itu lagi, tiada idea yang lebih buruk daripada mencetak wang kerana matawang negara akan menjadi tidak bernilai lagi.- MalaysiaGazette