Lebuhraya Pasir Gudang yang digenangi air setiap kali hujan lebat.

KUALA LUMPUR – Pejabat Daerah Johor Bahru dan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengkaji semula sistem perparitan di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang yang kerap berlaku banjir kilat apabila berlaku hujan lebat.

Kemungkinan ada kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang lancar dengan longkang sedia ada tidak cukup untuk tampung air jika hujan lebat.

Masalah ini kemungkinan menjadi punca berlakunya banjir kilat setiap kali hujan lebat, kata Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir.

Beliau juga mahu kajian secara terperinci dijalankan untuk mencari punca kenapa jalan lebuh raya ini mudah rosak dan berlubang.

”Alasan banyak kenderaan berat dan musim tengkujuh adalah alasan yang lapuk dan lepas tangan.

”Jika negara jiran kita boleh menyediakan kualiti jalan yang mantap, maka tiada alasan negara kita tidak boleh,” katanya yang mengulas mengenai kejadian banjir kilat di jalan itu petang tadi.

Menurut beliau, isu banjir kilat di jalan tersebut adalah isu lama yang menghantui penduduk Pasir Gudang.

”Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ianya bukan kali pertama berlaku. Warga Pasir Gudang tertanya-tanya mengapakah masih tiada solusi jangka masa panjang yang berkesan.

”Selain isu banjir kilat, isu jalan berlubang juga menghantui pengguna lebuhraya ini,” ujarnya.

Tegasnya, jika dua perkara ini mampu diselesaikan segera, sudah pasti kualiti Lebuhraya Pasir Gudang akan meningkat secara signifikan. – MalaysiaGazette