Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengingatkan orang ramai yang sebarang penggunaan tanda dagangan (trademark) oleh orang ramai perlu mendapatkan persetujuan bertulis daripada syarikat itu.

Ini kerana, nama ‘Tenaga Nasional Berhad’ dan logonya adalah tanda dagangan (trademark) berdaftar syarikat menurut Akta Cap Dagangan 2019.

TNB berhak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana syarikat dan/atau individu yang melanggar hak atau menyalahguna nama dan logonya.

Malah, mana-mana individu yang melanggar hak atau menyalahguna nama dan logo Tenaga Nasional Berhad dalam apa jua bentuk dinasihatkan untuk segera berhenti berbuat sedemikian.

Orang ramai yang mengetahui mengenai pelanggaran hak atau penyalahgunaan tanda dagangan (trademark) TNB boleh memaklumkannya menerusi e-mel [email protected].

TNB juga menasihatkan orang ramai agar tidak mendapatkan perkhidmatan daripada mana-mana syarikat yang mendakwa  dilesenkan oleh TNB untuk membantu pendaftaran, pembaharuan sijil dan mengemas kini maklumat vendor menerusi laman webnya yang tidak mempunyai kebenaran www.e-tnb.com.my dan www.evendor.com.my.

Syarikat utiliti itu berkata, TNB tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau pihak lain sebagai ejen untuk melakukan proses pendaftaran, pembaharuan sijil atau kemaskini profil bagi vendor, pembekal dan kontraktor.

Semua syarikat perlu berurusan secara langsung dengan TNB melalui TNB Supply Chain Management System di pautan https://srm.tnb.com.my/portal atau melalui e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette