Pelanjutan konsesi Plus Expressway Bhd. (PLUS) selama 20 tahun bermula 2038-2058 masih belum dimuktamadkan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Pelanjutan konsesi Plus Expressway Bhd. (PLUS) selama 20 tahun bermula 2038-2058 masih belum dimuktamadkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, satu memorandum sepatutnya dibentangkan kepada Kabinet pada pertengahan Disember ini sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kerajaan masih lagi melihat kepada opsyen-opsyen yang ada dan kami akan membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk mengurangkan beban kerajaan dan dalam masa yang sama menyeimbangkan keperluan rakyat.

“Selain itu, beban kewangan kerajaan apabila memilih opsyen ini perlu dipertimbangkan manakala impak terhadap ekonomi, keyakinan pelabur asing dan keupayaan keseluruhan kejayaan akan turut diambil kira,” katanya semasa sesi Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Eddin menjawab soalan Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) yang meminta penjelasan berhubung keputusan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk melanjutkan konsesi tol PLUS seperti yang diumumkan pada Januari lalu.

Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan mengambil keputusan untuk tidak menjual PLUS sebaliknya akan memberikan diskaun sebanyak 18 peratus bermula pada tahun ini.

Diskaun tersebut diberikan dengan melanjutkan konsesi tol selama 20 tahun.- MalaysiaGazette