Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

PUTRAJAYA РPolis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan  menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti kumpulan penjenayah yang melakukan serangan ke atas pasukan keselamatan Malaysia di Sempadan Thailand-Malaysia yang mengakibatkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terbunuh manakala rakan setugasnya parah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan berkata, kerajaan memandang serius terhadap kejadian yang berlaku awal pagi ini.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama kumpulan penyeludup yang melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan antara anggota PGA dengan kumpulan penyeludup telah berlaku pada 24 November 2020, pukul 3.00 pagi di Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar, Perlis.

“Siasatan awal mendapati kejadian ini bermula apabila dua anggota PGA sedang melakukan tugasan risikan di kawasan kejadian telah diserang oleh dua kumpulan disyaki terdiri daripada warga tempatan dan warga asing yang sedang menjalankan aktiviti jenayah penyeludupan di sempadan,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa dukacitanya apabila salah seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, terkorban dalam kejadian berbalas tembakan dengan kumpulan penyeludup.

“Manakala rakan setugas mangsa, Koperal Norihan A/L Tari cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Dalam Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian serangan tersebut,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Insiden tembak Padang Besar: Anggota PGA maut, rakannya parah