Gambar hiasan

SEDAR atau tidak, sudah lebih setahun kita berperang dengan wabak Covid-19. Pandemik ini telah menjangkiti 60 juta manusia dan telah pun meragut 1.4 juta nyawa. Tiada tanda-tanda yang virus SARS-COV2, penyebab COVID-19 sudah semakin lemah, sebaliknya kadar jangkitan semakin meningkat saban hari.

Di sebalik usaha berterusan pakar perubatan dan saintis untuk mencari ubat dan penawar farmaseutikal yang berkesan, SARS-COV2 semakin merakus. Tidak menghairankan jika perhatian seluruh dunia kini tertumpu kepada vaksin sebagai senjata untuk melemahkan virus ini.

Terdapat sejumlah 48 calon vaksin yang berada dalam pelbagai peringkat kajian klinikal dan hampir 164 vaksin masih lagi dalam peringkat pra-klinikal. Antara pilihan vaksin yang berpotensi untuk dipasarkan dan diedarkan dalam jangka terdekat adalah vaksin yang diusahakan oleh BioNtech bersama Pfizer, Sinovac, Moderna dan juga Oxford-AstraZeneca.

Vaksin-vaksin ini berada di peringkat ketiga ujian klinikal dan telah didapati mempunyai tahap keberkesanan dan keselamatan yang amat tinggi.

Setelah lebih setahun dunia bergelut dengan wabak Covid 19, sudah menjadi lumrah yang berita vaksin ini menjadi buah mulut ramai dan memberikan satu sinar positif yang memecah kesuraman dan kesedihan yang dibawa oleh pandemik ini.

Persoalan yang perlu dijawab adalah bukan samada vaksin ini menjadi penawar atau racun, tetapi adakah kita bersedia untuk mengambil langkah berani untuk mempercayai sistem perubatan moden, dan menyerahkan lengan kita untuk disuntik vaksin ini?

Sudah terbukti secara saintifik, vaksin yang diusahakan oleh syarikat farmaseutikal ulung dunia dengan kerjasama saintis dan pakar perubatan adalah amat selamat untuk diambil dan tidak membawa mudarat yang besar kepada kesihatan penerima vaksin tersebut. Tahap keselamatan vaksin ini adalah antara 70 hingga 94.5%, menjadikan ianya antara yang paling selamat di dunia.

Tentunya ianya bukanlah racun – yang menjadi racun adalah sikap sesetengah pihak yang menidakkan keputusan kajian klinikal yang dikawal selia dengan amat ketat dengan menggunakan maklumat yang bersifat anekdotal, spekulatif, emosional dan tidak berpaksikan kepada logik akal.

Antara Halal dan Islamik?

Benar, ada yang meragui status halal atau haram vaksin ini, namun harus diingat dalam ketika kita berdepan dengan ‘darurat kesihatan awam’, perkara utama adalah untuk mencari penawar yang akan membawa kebaikan kepada rakyat terbanyak. Memang ada ruang dan desakan untuk menghasilkan vaksin yang 100% halal, namun pada masa kini pilihan ini tiada.

Membiarkan rakyat dan komuniti terdedah dengan bahaya Covid hanya kerana vaksin ini tidak disahkan halal adalah perbuatan yang tidak Islamik serta membuka ruang kepada masyarakat dunia untuk memandang serong dan mempersenda agama Islam itu sendiri.

Menteri Agama, JAKIM dan agensi berkaitan perlu secara proaktif menyokong dan memainkan peranan utama dalam memberikan pendidikan kepada khalayak mengenai keperluan mereka memainkan peranan penting untuk melawan pandemik ini.

Bekalan dan Agihan

Apabila vaksin-vaksin ini diberi kelulusan untuk dipasarkan secara meluas – dijangka sebelum 2020 berakhir – akan timbul pula isu bekalan. Sebagai contoh, Kesatuan Eropah (EU) sudahpun menempah sebanyak 300 juta unit vaksin daripada Pfizer/BioNTech dan Oxford/AstraZeneca pula mampu mengeluarkan 200 juta unit vaksin sebelum akhir 2020.

Permintaan kepada vaksin-vaksin ini akan datang daripada seluruh dunia untuk populasi hampir 7.5 bilion. Tentunya akan terdapat saingan yang sengit untuk mendapatkan bekalan vaksin-vaksin ini.

Adakah Malaysia sudah dapat memastikan bekalan yang mencukupi? Jika kita berjaya mendapatkan sejumlah vaksin untuk kegunaan dalam negara, bagaimana pula dengan sistem simpanan dan agihan vaksin-vaksin ini? Laporan menyebut vaksin ini perlu disimpan dalam suhu minus 70 celcius. Jika kita ambil mudah tentang protokol ini, vaksin ini dikhuatiri akan rosak dan boleh membawa kesan sampingan yang bahaya jika terdedah kepada suhu tropika di Malaysia.

Persoalan seterusnya adalah siapa yang akan menerima vaksin ini? Adakah akan wujud ketelusan dalam memilih siapa yang berhak menerima vaksin ini terlebih dahulu. Sudah dijangka jumlah vaksin yang akan diterima adalah tidak mencukupi untuk setiap penduduk, maka perlu ada satu mekanisma yang telus dan berkesan untuk memastikan impak yang maksimum.

Perlu juga diambil kira hakikat yang setiap penerima vaksin memerlukan 2 dos suntikan untuk memastikan keberkesanan vaksin ini, ini akan seterusnya mengurangkan lagi jumlah penerima awal vaksin di Malaysia. Adalah dicadangkan agar petugas-petugas kesihatan di hospital, pusat kuarantin dan komuniti mendapat keutamaan untuk menerima vaksin ini.

Kita juga perlu mendahulukan golongan warga emas, penghidap penyakit kronik dan juga mereka yang mempunyai daya tahan imuniti yang lemah untuk mendapat suntikan vaksin ini terlebih dahulu.

Semoga tiada sikap pilih bulu dan kecenderungan untuk memberi suntikan vaksin ini kepada golongan tertentu yang dipilih hanya berdasarkan kepada status sosial, kewangan dan juga kecenderungan untuk menyokong golongan tertentu.

Permulaan kepada Pengakhiran Covid-19

Sukar untuk dibendung keterujaan khalayak terutamanya mereka yang betul-betul terkesan dengan akibat sekatan ekonomi dan pergerakan demi membendung wabak Covid 19 ini.

Untuk mereka yang terkesan secara ekonomi, mental dan fizikal – tentunya mereka juga akan ingin untuk menjadi antara yang pertama untuk menerima suntikan vaksin ini. Adakah ini bermakna Covid 19 akan akhirnya menemui ‘ajal’ dan dikuburkan selama-lamanya.

Walaupun itu adalah kesudahan yang paling afdal, keberkesanan jangka masa panjang vaksin
ini masih lagi dalam kajian.

Seperti frasa popular Bahasa Inggeris ‘the end is nigh’, begitulah juga doa kita agar bala bencana, kesedihan, kehilangan dan kekacauan yang terakibat oleh pandemik Covid 19 ini akan jadi suatu peristiwa yang terlakar dalam sejarah peradaban moden manusia. Titipan sejarah ini akan menyaksikan koalisi sedunia demi mempertahankan kelangsungan manusia sejagat.

Sudah lama kita berada di dalam terowong gelap pandemik Covid 19. Sudah terlalu lama untuk kita cuba untuk hidup seperti sediakala dalam kegelapan.

Sukar bagi kita untuk tidak ikut teruja dan tersenyum apabila cahaya yang dibawa oleh berita positif vaksin untuk Covid 19 ini hinggap ke muka kita yang sudah lama ditutup oleh pelitup muka.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia