Gambar Hiasan

PUTRAJAYA – Kini sudah ada sebanyak 339 kluster Covid-19 telah dilaporkan termasuk lima kluster baharu yang dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, jumlah kluster yang tamat pula adalah sebanyak 170 kluster dengan tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Idaman, Kluster Bayu dan Kluster Bah Kota.

Menurut beliau, ia sekaligus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif dan sedang dipantau adalah sebanyak 169 kluster.

Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 40 kluster melaporkan pertambahan kes dan kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Bakti (301 kes), Kluster D’Bajaru (56 kes) dan Kluster Pengkalan Barat (40 kes).

Malah dalam sidang medianya hari ini, Noor Hisham memaklumkan terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti.

Tambah beliau, kelima-lima kluster baharu berkenaan Kluster D’ Bajaru, Kluster Gangsa, Kluster Batu Tujuh, Kluster Tanjung Bunga dan Kluster Kerengge.

Menurutnya, Kluster D’Bajaru dikesan di Lahad Datu, Sabah yang mana kes kluster berkenaan dilaporkan mempunyai kes positif Covid-19 sejak 11 November lalu hasil saringan komuniti di dua kampung berisiko tinggi.

Ujarnya, sehingga semalam, sejumlah 609 individu telah disaring, yang mana 90 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster yang sama.

Kluster Gangsa dikesan di Kuala Langat, Selangor yang mana kes indeks iaitu kes ke-56, 262 dilaporkan positif hasil saringan di tempat kerja pada 23 November lalu.

Sehingga hari ini, sejumlah 78 individu telah disaring manakala 30 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster yang sama  melibatkan seorang warganegara dan 29 warga asing.

“Kluster Batu Tujuh melibatkan daerah Batu Pahat dan Johor Bahru di negeri Johor iaitu kes indeks (iaitu kes ke-54, 703) merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections (SARI) telah dilaporkan positif pada 22 November lalu.

“Setakat hari ini, sejumlah 144 individu telah disaring dan 13 daripadanya telah dikesan positif dalam kluster ini,” ujar beliau.

Noor Hisham turut memaklumkan Kluster Tanjung Bunga turut dikesan di daerah Johor Bahru membabitkan kes indeks (iaitu kes ke-53, 639) merupakan kes SARI telah dilaporkan positif pada 21 November lalu.

Tegasnya, sehingga 25 hari ini, seramai 87 individu telah disaring dan 11 kes telah dikesan positif.

“Kluster Kerengge pula dikesan di daerah Marang, Terengganu dengan kes indeks (iaitu kes ke-49, 709) dilaporkan positif menerusi hasil saringan individu bergejala pada 17 November lalu.

“Sehingga hari ini, seramai 680 individu telah disaring, yang mana enam kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” tegas beliau.-MalaysiaGazette