Jeneral Tan Sri Affendi Buang

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan kawalan persempadanan daratan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia susulan insiden seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar semalam.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM memandang serius terhadap insiden yang berlaku dan mengingatkan setiap lapisan peringkat kepimpinan serta anggota yang terlibat dalam operasi kawalan persempadanan terus berwaspada dan meningkatkan aspek kesiagaan operasi
terutama di lokasi panas yang dikenalpasti sebagai laluan atau lorong tikus.

Menurutnya, laluan dan lorong itu merupakan tumpuan aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta perlu diberi perhatian atas faktor ancaman yang bukan sahaja mengganggu-gugat kedaulatan negara malah risiko tindakan penjenayah yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada anggota ATM yang bertugas.

Mereka yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan penyeludupan ini juga boleh bertindak di luar batasan untuk melepaskan diri dari ditahan.

Malah, mereka juga tidak bersendirian dan berkemungkinan bernaung di bawah sindiket-sindiket tertentu yang menjurus kepada aktiviti jenayah berat dan bersenjata.

Tegas beliau, aspek peningkatan keselamatan dalam operasi kawalan persempadanan bukan sahaja tertumpu kepada daratan malah turut melibatkan persempadanan maritim negara termasuk Sabah dan Sarawak.

”Adalah juga menjadi keutamaan ATM sebagai agensi peneraju National Task Force (NTF) bersama PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain untuk terus memperkasakan kawalan persempadanan Negara melalui pelaksanaan OP Benteng dalam mengekang sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan terutama melibatkan pencerobohan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

“Tidak dinafikan bahawa, jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti tambahan dengan situasi semasa negara dan dunia menghadapi penularan wabak pandemik Covid-19.

“Namun, apa jua cabaran, ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan melalui kekerapan rondaan di samping penggunaan aset seperti dron bagi mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Affendi, kesiagaan daripada segi aset dan kebersediaan warga ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan agar dapat membendung sebarang anasir asing yang cuba mengganggu gugat keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, aktiviti jenayah rentas sempadan, termasuk aktiviti penyeludupan ini turut didalangi bukan sahaja oleh penduduk setempat malah penduduk setempat di negara jiran.

Justeru, masyarakat harus tampil kehadapan serta turut menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan. – MalaysiaGazette